UNIVERSAL Music Malaysia (UMM), sebuah anak syarikat Universal Music Group (UMG) peneraju dunia dalam hiburan berasaskan muzik, hari ini mengumumkan pelantikan Kim Lim sebagai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

Perlantikan tersebut adalah antara beberapa perekrutan strategik syarikat untuk memperluas dan memperkasa pasukan pengurusan kanan sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan perkembangan artis domestik dan pertumbuhan label di rantau ini.

Sebagai anggota teras pasukan eksekutif serantau UMG, Kim Lim akan memantau operasi UMG di seluruh Malaysia.

Setelah menyertai UMM pada tahun 2014 daripada agensi periklanan RedRedRed Malaysia, Kim Lim telah memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat tersebut termasuk sebagai Pengarah Kanan Perniagaan Baharu dan Pengurusan Artis & Ketua Pemasaran dan Jualan untuk Malaysia.

Melalui jawatan tersebut, Kim Lim memimpin UMM merentasi perkongsian, pengurusan bakat, acara siaran langsung dan inisiatif perniagaan baharu yang inovatif yang telah meletakkan UMM sebagai syarikat hiburan muzik domestik terkemuka di Malaysia.

Pada tahun 2019, Kim Lim menerajui pelancaran Celebrity 360, sebuah syarikat pengurusan artis terkemuka di industri yang menguruskan kerjaya beberapa bakat popular dan berpengaruh di Malaysia.

Antaranya ialah Anis Nabilah, Alvin Chong, Fattah Amin, Fazura, Diana Danielle, Syazuwan dan Jaja Iliyes.

Celebrity 360 adalah agensi pertama seumpamanya di rantau ini yang mengendali semua elemen untuk pelanggannya, termasuk perkongsian jenama, acara langsung dan produksi TV & filem.

Sebelum menyertai UMG, Kim Lim pernah memegang jawatan di Asia-Pacific Videolabs, Warner Music Malaysia dan Golden Dynamics Enterprise Ltd.

Di samping itu, Universal Music Malaysia juga telah mengumumkan satu siri pelantikan kepimpinan utama serta merta, termasuk Hermond Cheng dilantik sebagai Pengarah A&R & Pemasaran dan Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Ivan Koh  sebagai Pengarah Strategi Komersial & Digital dan Patrina Wong sebagai Pengarah Kewangan dan Operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Universal Music Southeast Asia & Timbalan Presiden Kanan, Asia, Calvin Wong menyifatkan kemampuan Kim Lim dalam inovasi perniagaan dan kepemimpinan strategik telah membolehkannya menaiki tangga ke jawatan tertinggi di UMM.

“Setelah menjadi Eksekutif Pemasaran yang berjaya di bahagian label, Kim telah mencapai hasil yang luar biasa dalam mengubah jumlah pendapatan syarikat, di samping menerajui pelancaran Celebrity 360 yang inovatif dan berjaya di Malaysia.

“Saya yakin bahawa dengan pasukan Kim, Hermond, Ivan dan Patrina, UMM akan terus membuka peluang kepada bakat muzik anak Malaysia di seluruh dunia, sambil mencapai tahap kejayaan baru di dalam negara,” ujarnya.

Semenetara itu, Kim Lim berkongsi rasa terujanya untuk memimpin dalam satu pasukan pengurusan baharu bersama Hermond, Ivan dan Patrina.

Iklan

“Kami akan melihat cara baharu untuk memperluaskan pengalaman dan memikirkan secara mendalam tentang peluang yang boleh diteroka.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada A&R domestik, mencari dan mengembangkan bakat terbaik yang ditawarkan oleh negara dan rantau ini.

“Berdasarkan kejayaan luar biasa Def Jam Malaysia, Celebrity 360 dan inisiatif komersil kami yang lain, kami akan berinovasi dan mengukir jalan baharu untuk memastikan budaya muzik Malaysia yang lebih rancak dapat diakses oleh rakan kongsi, platform dan yang paling penting peminat muzik di seluruh rantau ini berbanding sebelumnya,” katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, UMM telah mencapai kejayaan bersama barisan artis berbakat seperti Dolla, Alvin Chong, Kmy Kmo & Luca Sickta, Nabila Razali dan Shalma Eliana.

Iklan

Terdahulu pada tahun 2019, UMM melancarkan Def Jam Malaysia dan sejak itu telah menandatangani dan memperkenalkan beberapa bakat hip-hop domestik Malaysia.

Antaranya termasuk artis yang dianugerahkan platinum berganda, Yonnyboii  melalui kejayaannya dengan single Salahku yang meraih lebih daripada 20 juta tontonan di YouTube, selain album sulung yang bakal dilancarkan pada akhir tahun 2021.

Di samping itu, UMM turut melancarkan label baharu RedRecords dengan kerjasama AirAsia, untuk mengembangkan dan memperkenalkan muzik pop-Asia terbaik untuk pendengar di seluruh dunia.

Tahun ini, Universal Music Malaysia akan memberi tumpuan pada bakat tempatan dengan pelancaran beberapa label dan inisiatif baharu dalam usaha menjadikan UMM sebagai label utama untuk mengasah dan mengembangkan bakat dan budaya muzik di Malaysia, ke rantau Asia Tenggara dan global pada masa kini dan masa hadapan.