PELAKON Zulin Aziz berkongsi berita gembira selamat mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya, Farhan Norzaini, 35, pada malam Jumaat.

Difahamkan, majlis yang berlangsung ringkas dengan memenuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) itu diadakan di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam.

Menerusi laman Instagramnya hari ini, Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, turut mengumumkan tarikh majlis pernikahan mereka yang bakal berlangsung pada 20 Februari depan

“Alhamdulillah. Kami memilih tarikh ijab kabul pada 20.02.2022. Doakan semoga segala urusan kami dipermudahkan.

“Ini juga berkat doa dari kalian semua selama ni. Barakallah,” ujarnya.

Tidak berahsia atau menyembunyikan khabar gembira tersebut, pelakon drama Penjara Janji itu yang turut berkongsi beberapa keping fotonya termasuk bersama tunangannya, selepas majlis pertunangan selesai.

“Farhan melamar saya ketika di Madinah. Sebenarnya, kami sudah lama merancang, alhamdulillah akhirnya, ALLAH memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

Iklan

“Majlis pada malam ini diadakan serba ringkas. Malah, atas permintaan famili, kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat demi menjaga SOP,” katanya yang menerima dua bentuk cincin iaitu cincin merisik dan bertunang.

Rata-rata peminat dan pengikutnya di laman media sosial turut tumpang gembira dengan berita tersebut dan menitipkan doa agar urusan Zulin dan pasangan untuk ke jinjang pelamin dipermudahkan.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Zulin Aziz)