Kisah pilu di sebalik kemasyhuran Anita Mui  

A
A
A

SELEPAS 18 tahun pemergian bintang ternama Hong Kong yang popular pada era 1980-an dan 1990-an, Anita Mui, sebuah filem biografi yang memaparkan kisah hidup mendiang berjudul Anita, bakal menemui penonton pada 18 November ini.

Filem arahan Longman Leung itu sememangnya ditunggu ramai, bukan sahaja oleh para peminat Anita, tetapi juga dalam kalangan teman-teman penggiat seni seangkatan.

Anita memulakan cerita dengan memaparkan kehidupan bintang itu sewaktu kecil yang gigih mencari wang untuk menyara diri dan keluarganya.

Selepas menyertai satu pertandingan nyanyian, bakat Anita atau nama sebenarnya Mui Yim Fong mula mendapat perhatian ramai dan bermulalah kehidupannya sebagai anak seni yang berjaya meraih pelbagai pencapaian sehingga bergelar bintang ternama. Namun kejayaan itu juga turut menuntut banyak perngorbanan yang tidak terduga daripadanya.

Bintang ikonik yang mencipta kejayaan cemerlang dalam bidang nyanyian dan lakonan itu mempunyai seribu satu kisah yang cukup meruntun hati sebelum kematiannya pada 30 Disember 2003 ketika menginjak usia 40 tahun, akibat kanser serviks.

Tidak hanya memberi tumpuan kepada kerjaya seni, filem Anita juga menyorot kisah peribadi selebriti sensasi itu yang sangat rapat dengan kakaknya, Ann Mui dan rakan selebriti, Leslie Cheung.

Filem itu turut mendedahkan kehidupan ‘sunyi’ Anita yang terperangkap dengan masalah kemurungan meskipun kehidupannya dilihat serba indah secara luarannya.

Secara keseluruhannya naskhah tersebut berjaya membawa penonton untuk mengikuti perjalanan kisah hidup, sekali gus mengenali lebih dekat bintang ternama itu. Banyak kisah menarik yang mungkin tidak diketahui peminat, dipaparkan dalam filem Anita.

Bagaimanapun lakonan Louise Wong yang menjayakan watak utama sebagai Anita dilihat tidak begitu berjaya memberi impak kepada karakter tersebut.

Secara fizikal, penampilan bintang baharu itu memang persis Anita, namun terjemahan emosi yang diberikan tidak sampai, malah beberapa babak yang sepatutnya mampu mengusik hati penonton berlalu begitu sahaja.

Mujurlah ada beberapa klip video yang merakamkan momen sebenar melibatkan mendiang Anita menyelamatkan keadaan. Pemilihan petikan video tersebut cukup menjentik emosi penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

Beberapa dialog yang dituturkan bintang yang pernah mendapat gelaran sebagai Madonna Asia itu juga turut meninggalkan impak kepada tontonan terutamanya pada babak konsert terakhir yang diadakan sekitar 40 hari sebelum kematiannya dalan persalinan gaun pengantin putih.

Bagaimanapun cerita berkenaan hubungan Anita dan ibunya, serta gosip cinta mengaitkan selebriti itu dengan aktor popular Andy Lau yang sering menjadi bualan peminat sebelum ini tidak dipaparkan.

Apa-apa pun filem biopik Anita merupakan satu penghormatan buat mendiang Anita Mui dan sebuah naskhah yang berbaloi untuk ditonton.

Anita

Bahasa: Kantonis

Klasifikasi: U

Genre: Biografi/drama

Durasi: 2 jam 16 minit

Pengarah: Longman Leung

Pelakon: Louise Wong, Louis Koo, Terrance Lau, Fish Liew, Lam Ka Tung

Edaran: Sony Pictures

Tarikh Tayangan: 18 November 2021

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca