SETELAH hampir lima tahun bergelar artis, Bintang Paling Popular, Haqiem Rusli kini tampil dengan single terbaharu yang juga merupakan single ke-14, Mimpi.

Menariknya, lagu ciptaan oleh Haqiem atau nama lengkapnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, dan Datuk A. Aida itu terpilih menjadi runut bunyi drama Bidadari Salju, lakonan Adam Lee dan Sweet Qismina yang sedang hangat bersiaran di TV3.

“Ramai yang mesej langsung saya di Instagram dan bertanya kenapa mereka tidak menemui muzik video single Mimpi di saluran YouTube.

“Pertanyaan itu membuatkan saya rasa sangat gembira dan dihargai peminat. Malah dalam masa sama, teruja seolah-olah ini single pertama saya yang baru nak keluar. Lain macam rasanya, mungkin lagu ini nak meletop luar biasa.

“Jadi bagi mereka yang menanti muzik video mimpi, anda semua boleh menonton di saluran YouTube FMC Music yang telahpun dilancarkan pada 7 Januari lalu.

“Saya harap single kali ini berjaya mencatatkan tontonan lebih 20 juta mengatasi catatan tertinggi lagu saya sebelum ini iaitu Selamat Tinggal Sayang.

“Lagu ini buah tangan saya di tahun baharu 2021. Buat semua peminat, kita bagi view lebih 50 juta pula kali ini,” katanya.

Haqiem yang mula dikenali dengan lagu Segalanya dan Tergantung Sepi itu kini semakin berani dan yakin mengetengahkan lagu ciptaannya sendiri.

Mimpi merupakan single kelima ciptaan dan dianyanyikan sendiri oleh Haqiem selepas Bangkit, Lembah Kesepian, Qiemillio dan What Can I Do For U.

Mengakui meletakkan harapan tinggi untuk single terbaharunya itu, Haqiem bukan sahaja mahu dikenali sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pencipta lagu berjaya.

“Bohong kalau saya kata tidak meletakkan harapan tinggi. Ini lagu ciptaan saya, mestilah saya harapkan sesuatu daripada hasil kerja keras ini.

“Tahun 2021 ini kalau boleh saya nak orang mengenali Haqiem Rusli bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi saya mahu mencipta jenama sebagai komposer disegani seperti Datuk M.Nasir dan Datuk Ahmad Nawab.

Iklan

“Itu matlamat dan sasaran untuk tahun baharu ini,” ujarnya yang merupakan artis naungan FMC Music.

Melihat kepada kejayaan deretan single solonya, ramai peminat mengharapkan Haqiem tampil dengan lagu duet bersama penyanyi wanita sebagaimana dilakukan ramai penyanyi lain.

“Buat masa ini saya lebih selesa fokus pada nyanyian solo. Bukan tidak mahu, tetapi nanti dulu.

Iklan

“Ada saja penyanyi wanita ajak berduet, tetapi saya menolak dengan cara baik kerana biarlah saya betul-betul sukses dengan lagu solo dan lagu-lagu ciptaan sendiri dulu.

“Tidak kurang juga yang minta saya buat lagu untuk mereka tetapi memandangkan waktu agak terhad, jadi saya mohon maaf jika tidak dapat memenuhi permintaan mereka buat masa ini,” kata Haqiem.

 

(FOTO: FMC Music)