TIADA apa yang lebih membahagiakan selain dapat beraya bersama-sama keluarga tersayang dan mengunjungi saudara mara terdekat kala meraikan 1 Syawal.

Bagaimanapun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang meruncing dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, duo hip hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta akur beraya di ibu kota.

Jika sebelum ini, setiap kali raya dua sahabat baik itu akan konvoi bersama-sama untuk pulang ke kampung halaman mereka di Kuantan, Pahang beberapa hari sebelum raya.

Menurut Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, biarpun tidak dapat pulang beraya di kampung, dia bersyukur dapat meraikan Lebaran bersama isteri dan cahaya mata sulungnya, selain dalam debaran menantikan kelahiran anak kedua tidak lama lagi.

“Ada baiknya juga tidak pulang beraya di kampung pada tahun ini kerana isteri saya sedang sarat hamil dan dijangka bersalin pada bulan Jun ini.

“Sebelum ini saya risau juga bila dia asyik sebut nak balik beraya di Kuantan, takutlah dia mengidam raya. Tapi alhamdulillah, kami semua okay sahaja beraya di Kuala Lumpur (KL).

Iklan

“Cuma bila dua tahun kena beraya di KL, memang ada rasa rindu nak buat rutin raya dengan keluarga dan kawan-kawan lama di kampung,” ujar Kmy.

Sementara itu, Luca Sickta yang masih beraya sebagai orang bujang, mengakui agak janggal dan dalam masa sama sayu apabila terpaksa raya berjauhan dengan ibunya yang berada di Kuantan.

Apatah lagi pemilik nama sebenar Shameer Ashraf Shahruddin itu merupakan anak tunggal dan tanpa kepulangannya, ibunya beraya seorang diri.

Iklan

“Ibu saya merupakan ibu tunggal dan semenjak kecil lagi kami memang hidup berdua sahaja. Jadi bila raya, saya memang utamakan ibu dan pastikan keperluan rayanya cukup.

“Bila tak dapat balik raya bersama ibu memang sedih sebab saya faham macam mana ibu sorang-sorang kat sana. Tapi disebabkan PKP dan tak boleh rentas negeri, kami lalui jugalah.

“Bagaimanapun apa seronoknya, meski raya berjauhan, saya dan ibu tetap pakai baju raya sedondon. Ibu tentukan warna dan saya akan ikut sahaja untuk pakai pagi raya, walaupun kami beraya secara panggilan video sahaja,” ujar Luca.

 

(FOTO: Rosli Talib)