JIKA sebelum ini nama Naim Daniel cukup sinonim dengan lagu lagu-lagu cinta menyentuh hati, kali ini berbeza apabila penyanyi muda berbakat besar itu kini tampil dengan sebuah lagu bertemakan kerohanian.

Merakam kembali lagu Ya Rasulallah 1444, ciptaan Abu Bakar Md Yatim dengan sentuhan dan sususan musim baharu, Naim, 25, berbesar hati dapat berkolaborasi dengan penyanyi asal lagu itu, kumpulan Raihan.

“Alhamdulillah akhirnya saya berpeluang bergabung dengan kumpulan nasyid yang saya sangat minati sejak kecil iaitu Raihan.

“Siapa yang akan menolak pelawaaan daripada Raihan yang merupakan pelopor genre nasyid moden negara kita, bahkan turut membina pengaruh di peringkat global?

“Pasti sahaja saya teruja dan bersyukur dengan rezeki bekerjasama dengan mereka menerusi karya istimewa ini,” ujarnya.

Naim berkata, lagu Ya Rasulallah 1444, terbitan Warner Music Malaysia itu sangat istimewa dan penuh makna kerana ia bercerita tentang rasa kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Bagi saya lagu ini merupakan ‘surat cinta’ buat seseorang yang sangat kita sayangi dan rindui. Rasa cinta, kasih serta mengenang perjuangan Rasulullah SAW dalam memartabatkan Islam tidak dapat digambarkan hanya dengan kata-kata.

“Abang Burn (komposer) mencipta lagu ini bukan untuk meraih populariti tetapi dengan niat yang ikhlas untuk menzahirkan rasa sayang terhadap baginda. Keperibadiannya wajar dijadikan contoh menjadi panduan buat kita seluruh umat Islam dalam menjejaki langkahnya.

“Tujuan single ini dihasilkan semula adalah untuk kita sentiasa mengingati Rasulullah SAW tidak kira apa jua keadaan dan sentiasa berselawat kepadanya,” kata Naim.

Lebih segar

Lagu Ya Rasulullah versi asal diterbitkan pada 1999 yang mana ia merupakan antara lagu hit Raihan dan mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi juga di United Kingdom, selain beberapa negara lain di Eropah.

Che Amran yang mewakili Raihan menjelaskan, pemilihan Naim Daniel untuk versi baharu lagu tersebut kerana percaya dengan kebolehan penyanyi itu.

Iklan

“Kami sepakat memilih Naim kerana pernah melihatnya menyanyikan lagu ini dan kami senang mendengar versi yang dibawakan.

“Jadi kami menyatakan hasrat pada pihak Warner untuk mengajak Naim turut serta dalam projek ini, maka terlahirlah Ya Rasulallah 1444 dengan susunan muzik baharu yang lebih segar.

“Bagaimanapun tidak banyak perubahan yang kami dilakukan pada melodinya, ia hanya kedengaran lebih ‘besar’ pada skala yang berkadar,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Naim menyifatkan peluang bekerja dengan Raihan yang dianggotai oleh Che Amran, Abu Bakar dan Amran Ibrahim sebagai pengalaman istimewa dalam kerjaya seninya.

“Selain berpeluang bekerja dengan mereka yang berpengalaman, banyak yang saya pelajari dan fahami tentang erti perjuangan artis-artis sebelum saya,” ujar Naim mengakhiri perbualan.

(FOTO: WARNER MUSIC MALAYSIA)