SELEPAS drama Kampong Pisang Bersiri-Siri yang disiarkan menerusi slot Astro Originals mendapat sambutan hangat daripada penonton, sebuah lagi karya Mamat Khalid bakal menghiburkan penonton.

Kali ini menerusi 18 Puasa Di Kampong Pisang yang menyaksikan gabungan dua naskhah tulisan Mamat sebelum ini iaitu Kampung Pisang dan 16 Puasa & 17 Puasa.

Uniknya, 18 Puasa Di Kampong Pisang merupakan kesinambungan dua naskhah tersebut dengan mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’.

Filem komedi terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut itu kini menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 15 April lalu.

Meski jalan cerita, babak dan skrip yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata, namun ia berjaya meninggalkan impak positif kepada penonton.

Kebanyakan karakter-karakter utama daripada Kampong Pisang Bersiri-Siri masih dikekalkan seperti Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Yah Kuchei (Afea Deana) dan lain-lain.

Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa lakonan Namron, Jaafar Onn, Siti Elizad dan Ustaz Kazim.

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Iklan

Menurut Mamat, filem tersebut membawa pendekatan berbeza berbanding karya 16 Puasa & 17 Puasa.

“Sudah tentu nilai hiburannya masih ada, cuma terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini.

“Jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri.

Iklan

“Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan,” katanya.

 

(FOTO: Astro Shaw)