SELEPAS hampir 10 tahun tidak mengarah filem, selebriti versatil, Khir Rahman kini tampil dengan buah tangan terbaharu menerusi naskhah Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

Filem terbitan Excellent Pictures yang dibintangi Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid dan Anas Ridzuan itu bakal ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First (saluran 480), bermula 10 Jun (hari ini).

Menurut Khir, filem arahan terbaharunya itu menampilkan sebuah karya bergenre komedi satira.

“Meskipun padat dengan komedi serta jalan cerita santai, namun istimewanya menerusi naskhah ini saya cuba mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti dan ada banyak pengajaran yang cuba disampaikan.

“Saya harap, kehadiran filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal di rumah dan menikmati hiburan filem ini bersama keluarga mahupun orang terdekat,” jelasnya.

Arwah Pak Mat, Lif & AJK mengisahkan tentang Nordin, seorang pekerja kilang yang menjaga bapanya dan tinggal bersama di flat Seri US di tingkat 25.

Iklan

Apabila penduduk flat sedang meriah melangsungkan pemilihan presiden dan ahli AJK musim baharu, mereka dikejutkan dengan kematian bapa Nordin.

Keadaan bertambah kecoh selepas lif di flat tersebut rosak dan jenazah bapanya perlu dibawa turun menggunakan tangga.

Iklan

Biarpun, pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi, namun hidup berkomuniti menyatukan mereka.

Untuk melanggan filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK, penonton boleh ke Astro First (saluran 480) atau strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.