BAGAI impian jadi kenyataan. Begitulah rumusan ramai pihak apabila pasangan adik beradik ternama negara mengumumkan kolaboratif mereka menerusi konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022.

Konsert yang dibawakan oleh Trumpet International Sdn Bhd itu bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Ogos depan.

ANUAR ZAIN DAN ZIANA ZAIN

Walaupun bukan pertama kali berkongsi pentas dengan kakaknya, namun Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur untuk persembahan berskala besar itu adalah satu penghormatan buat mereka berdua.

“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberikan. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert ini bakal menjadi momen kepada kerjasama yang sangat bermakna buat saya dan kakak yang telah sekian lama berada di dalam industri seni tanah air,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar mengumumkan tentang konsert berkenaan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada petang Khamis lalu.

Dalam reaksi Ziana pula, penyanyi lagu Madah Berhelah itu berkata, paduan vokalnya bersama adik tersayang akan menjadi  ‘mimpi indah’ buat penonton. Ia juga adalah hadiah istimewa buat mereka yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kerjayanya sebagai pelaku seni.

“Konsert ini akan menjadi momen keemasan bukan sahaja buat peminat, tetapi kami dua beradik. Saya dan Anuar sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International yang berani mengetengahkan Anuar Zain dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” kata penyanyi jelita tersebut.

Mengikut perancangan, persembahan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 bakal berlangsung selama 90 minit.

Kedua-dua penghibur kesayangan ramai itu dijangka melantunkan lagu-lagu malar segar dan popular yang telah menjulang nama mereka di persada seni tempatan.

Jennifer Thompson akan bertindak sebagai penerbit konsert dan pengarah muzik. Perbincangan sudah dilakukan termasuk kesepakatan dalam seleksi lagu-lagu yang ingin disampaikan.

Anuar dan Ziana masing-masing dijadualkan akan menyanyi enam buah lagu. Lebih istimewa, mereka juga akan berpadu suara menerusi lagu duet popular.

Tiket laku keras

Menurut Anuar, 52, beliau memahami para peminat pasti mempunyai nostalgia tertentu, tetapi setiap naskhah yang dipilih adalah lagu yang paling bersesuaian dengan vokal mereka.

Ziana, 54, menambah, menjadi satu cabaran buatnya untuk mendendangkan karya emas adik sendiri.

“Kita dengar lagu Anuar, halwa telinga kita ‘rasa’ sedap saja, tetapi bukan mudah ya (membawakan lagu Anuar).

“Saya bercakap begitu bukan sebab dia adik saya, tetapi saya melihat dia sebagai penyanyi profesional. Lagu-lagu Anuar sarat dengan emosi dan penghayatan yang mendalam.

ANUAR ZAIN DAN ZIANA ZAIN

Iklan

“Sebab itu walaupun kita dengar orang nyanyi lagu Anuar dengan teknik berbunga-bunga sekali pun, tetap tidak boleh melawan penghayatan yang Anuar berikan,” ujarnya.

Ditebak mengapakah Anuar dan Ziana tidak pernah tampil dengan lagu duet, Anuar mengambil posisi untuk menjawabnya.

Jelas beliau, perancangan itu pernah difikirkan, tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Pernah ada pihak yang cadangkan, ada yang mendekati untuk kami berduet, namun sayangnya lagu itu tidak kena dengan jiwa kami.

“Cara nyanyian Kak Ziana berbeza dan saya juga berbeza. Mungkin sebab itu sukar untuk kami hasilkan lagu duet. Pada masa sama, kami tidak mahu buat hanya kerana ia kemahuan peminat,“ katanya.

Iklan

Dalam pada itu, tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga RM288, RM588, RM788, RM988 hingga RM1,188 sudah boleh dibeli secara online melalui laman web www.excitix.com.my mulai Khamis, jam 3 petang.

Difahamkan, tidak sampai tiga jam dibuka, 50 peratus tiket telah terjual, manakala yang berharga RM288 sudah ditempah.

Adakah kemungkinan Anuar dan Ziana bersedia untuk menambah tempoh sehari lagi seandainya ada permintaan yang diterima begitu tinggi?

Mengulas mengenai pertanyaan berkenaan, nampaknya sama ada Anuar atau Ziana, mereka masih belum mahu berfikir tentang hal itu.

“Kami berterima kasih di atas segala sokongan yang diberikan. Kami sebenarnya tak fikir pun untuk tambah sehari lagi atau ada pelan lain.

“Kita lihat dulu keadaan macam mana. Apa pun, kepada peminat yang masih berusaha mendapatkan tiket, bersabar. Apa jua tiket yang anda dapat, itulah yang terbaik untuk anda,” ujar Anuar.