PASTI ramai yang mengenali dan mengidolakan kumpulan Blue yang pernah mencipta sensasi sekitar era 2000an dengan lagu-lagu popular mereka seperti All Rise, One Love dan If You Come Back.

Kini kumpulan yang dianggotai oleh Lee Ryan, Duncan James, Simon Webbe dan Anthony Costa itu bakal terbang ke Malaysia untuk menjayakan konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour yang akan berlangsung di Plenary Hall, KLCC, pada 10 Februari depan.

Konsert eksklusif yang dibawakan oleh Hitman Solutions & Happymoon itu dijangka mendapatkan sambutan hebat daripada peminat muzik Malaysia yang sememangnya menantikan kehadiran kumpulan asal Britain itu.

Wakil penganjur, Kesavan Purusotman yang juga merupakan pengasas Happymoon, berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Hitman Solutions sebelum ini mewujudkan impak positif dalam kalangan penggemar muzik di Malaysia.

“Terdapat permintaan tinggi terhadap konsert dari pelbagai genre dan ia menjadi keutamaan kami untuk memenuhi permintaan peminat muzik.

“Blue adalah pilihan boy band yang tepat kerana mereka sedang meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu sejak awal 2000-an dengan siri jelajah dunia yang dikenali sebagai Heart & Soul Tour untuk meraikan peminat mereka,” ujarnya.

Iklan

Pada konsert tersebut, Blue dijangka menyanyikan seleksi lagu hits mereka, sekali gus mengimbau nostalgia bersama peminat yang membesar pada era kegemilangan kumpulan itu.

Tiket Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour dijual bermula hari ini dengan harga RM188, RM258, RM358, RM488 dan RM688 (VIIP). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.hitmanlive.com.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.