PLATFORM penstriman popular di Asia, JOOX, bakal membawakan siaran langsung konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran, secara eksklusif buat pengguna di Malaysia, Hong Kong, Macau, Indonesia, Thailand dan Myanmar pada Sabtu.

Konsert yang diadakan secara dalam talian itu juga akan mempromosikan album terbaharu Ed Sheeran berjudul “=”. Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Bad Habits, Shivers, Overpass Graffiti dan Visiting Hours.

Penghasilan album studio keempat itu adalah rentetan kejayaan penyanyi itu menguasai carta muzik dunia sekaligus mengukuhkan lagi nama di persada muzik dunia.

Dalam pada itu, konsert tersebut juga membolehkan peminat merasai sendiri kekuatan dan keunikan muzik pop Sheeran selepas kembali daripada rehat disebabkan pandemik Covid-19.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Perfect itu mengakui teruja untuk memperdengarkan lagu-lagu baharu daripada album “=” kepada peminat.

“Album berjudul ‘=’ sangat bermakna dan bersifat peribadi buat diri saya. Saya menganggap ia sebagai sebuah album yang semakin dewasa.

Iklan

“Saya juga tidak sabar untuk berkongsi dan mempersembahkan lagu-lagu daripada album ini kepada peminat muzik Asia melalui JOOX,” katanya.

Iklan

Pengguna berbayar JOOX VIP boleh strim secara langsung konsert tersebut pada 13 November, jam 8 malam (waktu Malaysia).

Dalam pada itu, JOOX yang mempunyai lebih daripada 40 juta lagu dalam pustaka muziknya dari seluruh dunia turut menghubungkan peminat dengan artis, lagu, album dan senarai pemain yang dapat disimpan mengikut kegemaran masing-masing.