KEMUNCULANNYA pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-12 pada 1997 menerusi lagu Awallah Dondang membawa nama Noraniza Idris terus meluncur jauh hingga mendapat gelaran Ratu Irama Malaysia.

Deretan lagu seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Hati Kama, Tinting, Ngajat Tampi, Hala Timur, Tandang Bermadah, Hatinya Tak Tahan dan banyak lagi adalah bukti perjuangan yang dibawa Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani dalam memartabatkan irama muzik tradisional tidak pernah padam hingga sekarang.

Selepas 36 tahun, Noraniza kini bersedia untuk mengadakan konsert yang digambarkannya sebagai pertama dan terakhir, namun pastinya cukup eksklusif serta bertaraf antarabangsa.
Konsert Malai Solo Noraniza Idris bakal diadakan pada 21 hingga 23 Oktober di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Ini bukan gimik (mengatakan konsert pertama dan terakhir), usia saya sudah 54 tahun, bukan 25 tahun lagi. Lama manalah tenaga saya ada untuk adakan konsert lagi pada masa akan datang.

“Lagipun, kos penerbitan untuk konsert ini sangat tinggi dan irama Malaysia bukan sekadar konsert biasa. Ia tak sama dengan konsert lain.

“Pendekatan saya dalam irama Malaysia, ia lebih kepada akademik, sahsiah dan kokurikulum. Lagu-lagu saya ini bersifat mendidik dalam pelbagai aspek.

“Bila saya nak bawa matlamat itu menjadi kenyataan memang agak sukar sebab ia memerlukan kos yang terlalu besar. Sebab itu, saya tak mampu nak buat konsert tersebut dari awal. Sekarang ini baru menjadi,” katanya semasa sidang akhbar Konsert Malai Solo di Istana Budaya pada Selasa.

NORANIZA IDRIS
Kak Ani bersama individu penting di belakang konsertnya.

Tambah Noraniza, konsert itu nanti akan menggunakan khidmat seramai 300 individu melibatkan pengarah muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS, barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap, artis budaya jemputan, kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan dan banyak lagi.

“Konsert ini berdurasi 120 minit tanpa henti. Ada transisi kita cuba ketengahkan berkaitan saya. Tak berhenti sebab tak nak momentum jatuh.

“Bila bercakap konsep, tak boleh melibatkan penari yang sedikit. Pentas pula sangat luas. Jadi, macam mana nak memperlihatkan persembahan nampak gah, peranan utama nak fokus adalah penglibatan dan karakter penari,” jelas beliau mengenai konsert dengan kos RM3 juta itu.

Iklan

Definisi Malai

Pemilihan nama Malai Solo adalah simbolik kepada persembahannya yang disulam dengan kepelbagaian budaya, selain bakal menyaksikan kemeriahan di pentas dengan dipenuhi segerombolan penari.

“Definisi Malai ialah sekuntum bunga emas yang diletakkan di lembing pahlawan-pahlawan suatu ketika dahulu.

“Saya ambil ia sebagai satu simbolik semangat juang kepahlawanan dan diolah menjadi satu identiti serta tema untuk konsert ini.

Iklan

“Jadi, Malai ini adalah bunga yang disulam, macam budaya kita ini. Ibarat satu perjalanan menelusuri budaya daripada satu kesenian ke satu kesenian yang lain. Seni dan budaya ini ibarat bunga emas atau khazanah yang sangat berharga. Solo itu saya maksudkan kepada diri saya sendiri,” jelas Noraniza lagi.

Idea dan konsep Konsert Malai Solo Noraniza Idris adalah daripada Noraniza sendiri, sementara Ahmad Saifulizam atau Gbam bertindak selaku pengarah konsert; Mohd Seth Hamzah (pengarah persembahan) dan Siso Kopratasa (pengarah artistik).

Tiket-tiket telah mula dilancarkan pada 19 Ogos lalu melalui www.ilassotickets.com dengan harga VVIP Awallah Dondang RM1,599, VIP Dikir Puteri RM899, Intan Payung RM399 dan Hati Kama RM299.