Kontroversi bukan keutamaan Sarah Suhairi, elak keluarga dapat tempias kurang enak

A
A
A

PERJALANAN gadis berusia 21 tahun ini dalam industri seni sudah bermula semenjak empat tahun lalu.

Namun berbeza dengan rakan seangkatan lainnya, nama Sarah Suhairi boleh dikategorikan masih bersih daripada sebarang kontroversi liar.

Bahkan bagi empunya diri, dia tidak mahu menjadikan kontroversi sebagai batu loncatan untuk dikenali ramai.

Menurut Sarah, sejak awal melibatkan diri dalam dunia seni, dia berjanji kepada dirinya untuk menjaga nama baik keluarga.

“Sejak mula melibatkan diri dalam industri seni, saya memang sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal, untuk menghadapi cerita baik atau buruk.

“Pada awalnya, ibu antara individu yang tidak bersetuju saya menyertai industri seni, mungkin kerana saya anak perempuan sulung. Bagaimanapun ayah memberi galakan kerana tahu minat saya.

“Ayah banyak menasihati dan mengajar saya bagaimana cara untuk bercakap. Jadi kalau boleh saya tak mahu kecewakan keluarga dan mengkhianati kepercayaan serta sokongan mereka.

“Saya percaya, kalau ada perkara buruk yang saya buat, lambat-laun keluarga akan dapat tempiasnya juga,“ katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya, Andaikan yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Diminta mengulas isu kontroversi yang melanda beberapa rakan seangkatan atau penyanyi baru, Sarah berkata, dia sentiasa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

“Bila ada isu dalam situasi pandemik, di mana orang banyak duduk di rumah dan mengikuti perkembangan semasa daripada sosial media, setiap tindak tanduk kita itu akan jadi perhatian.

“Jadi bila nak buat sesuatu, kita kena fikir akibat yang bakal diterima. Saya memang elak untuk buat sesuatu yang boleh menimbulkan amarah orang lain,“ jelasnya.

Sementara itu, berkongsi situasinya mengharungi tempoh kawalan pergerakan dan pandemik yang semakin hebat kini, Sarah berkata, sama seperti ramai anak seni lain, dia juga turut terkesan apabila banyak persembahan terpaksa dibatalkan.

Sarah memilih untuk meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Bagaimanapun, dia melihat dari sudut positif dan menggunakan masa yang ada untuk belajar vokal dan membantu mengajar adiknya.

“Tidak dinafikan saya juga terkesan bila banyak persembahan terpaksa dibatalkan sejak tahun lalu. Kalau ada pun hanya menerusi virtual sahaja.

“Saya gunakan masa yang ada untuk berlatih vokal di mini studio di rumah, selain bantu mengajar adik bongsu menerusi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Walaupun saya bukan hebat sangat, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk bantunya bagi memahami subjek yang dipelajari pada hari itu,“ ujarnya.

Peram Andaikan dua tahun

Sementara itu berkongsi mengenai lagu baharunya, Andaikan, Sarah memberitahu, lagu itu sudah disiapkan pada tahun 2019 dan disimpan bagi menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

Lebih bermakna, apabila lagu ciptaan komposer terkemuka, Sharon Paul dan lirik daripada Shah Shamshiri itu dijadikan runut bunyi drama Hatimu Sedingin Salju yang disiarkan di TV3.

“Selepas lagu itu dirakamkan, kami memilih untuk menyimpan dan tunggu masa sesuai untuk dilancarkan.

“Dalam masa sama, kami hantar juga lagu ini ke stesen TV, sekiranya ada drama yang sesuai dengan single ini.

“Mungkin rezeki Andaikan ini memang bersesuaian dengan drama Hatimu Sedingin Salju dan ia secara tidak langsung membantu dari sudut promosi juga,“ katanya.

Sarah terharu apabila lagu Andaikan dipilih menjadi runut bunyi drama Hatimu Sedingin Salju.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Andaikan menunjukkan sisi lain vokal Sarah kerana lagu bergenre balada itu mempunyai melodi cukup indah disertakan dengan bait-bait lirik penuh emosi.

“Andaikan menceritakan tentang hubungan percintaan pasangan yang mengharungi hidup bersama, namun musnah di pertengahan jalan.

“Sejujurnya saya memang tiada pengalaman sebegitu. Jadi saya cuma menonton K-Drama bagi mendapatkan feel hubungan yang patah hati.

“Dari rasa itu, saya suntikkan mood ke dalam lagu itu,“ jelasnya.

Lagu Andaikan sudah boleh mula didengarkan di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes mulai 24 Jun lalu.

https://youtu.be/RHmX0YmWBEs

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca