BIARPUN banyak lagu raya baharu dihasilkan bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri saban tahun, namun lagu-lagu raya lama tetap menjadi pilihan dan dianggap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Hal sama diakui kumpulan Kopratasa apabila mengambil pendekatan untuk merakamkan semula lagu Selamat Hari Raya yang dipercayai merupakan lagu raya terawal dalam industri muzik tanah air.

Kopratasa yang dianggotai oleh Siso, Sani Sudin dan Usop sebelum ini membawa haluan masing masing, kini kembali dengan projek istimewa itu di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd.

Menyifatkan karya tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri, Kopratasa merasakan sangat rugi jika lagu itu dibiarkan lenyap ditelan zaman.

Apatah lagi menurut sumber dipercayai, lagu raya ciptaan Tengku Ali Basha @Cik Ara Bangsawan yang dihasilkan pada tahun 1936 itu dikatakan telah membuka sejarah untuk sambutan hari raya era itu.

“Berdasarkan kepada perpatah ‘yang buruk (lama) diperbaharui, yang usang dikajangi’, kami merasakan tindakan merakam semula lagu ini sebagai satu aktiviti melestarikan khazanah lama untuk tatapan semula generasi hari ini.

“Kami mencadangkan kepada pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu ini. Persetujuan dicapai dan syarikat telah memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai penerbit dan kerja menyusun semula muzik lagu ini.

“Manakala kami menambah sedikit melodi baharu di bahagian korus lagu ini dan menyanyikan dengan cara Kopratasa sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kopratasa berkata, biarpun rakaman semula lagu itu dilakukan dengan sedikit penambahan melodi, ia bukanlah bertujuan merosakkan lagu tersebut.

“Pendekatan itu bertujuan memeriahkan lagi melodi tersebut untuk menepati konsep bergembira di hari raya.

Iklan

“Inovasi melodi tersebut tidak mengganggu nilai asal lagu itu. Melodi asal tetap dijaga, senikatanya pun tetap dipakai seperti yang asal.

“Cuma penambahan ini menjadikan lagu Selamat Hari Raya itu lebih catchy dan hasilnya menarik,” ujarnya.

Kopratasa mengharapkan agar lagu itu dapat diterima dan memberi sesuatu yang unik sempena sambutan Aidilfitri tahun 2021.

Iklan

“Semoga nafas baharu lagu Selamat Hari Raya ini dapat mengubat kerinduan peminat-peminat Kopratasa dan menarik perhatian generasi hari ini dalam kemeriahan kita menyambut Syawal suasana norma baharu,” katanya.

Penggambaran muzik video lagu Selamat Hari Raya dilakukan pada awal Ramadan lalu dan diarahkan oleh pengarah muda berbakat besar, Juril Jumali.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, YouTube dan iTunes yang akan dilancarkan pada 9 Mei ini.