SETELAH tampil dengan single kedua berjudul Khayalan pada Oktober tahun lalu, Kucaimars kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Mudah Bagimu.

Bercerita mengenai keistimewaan lagu tersebut, Kucaimars yang turut bertindak selaku penulis lirik berkata, lagu tersebut merupakan kisah benar tentang kekasih yang ditinggalkan oleh pasangannya.

“Saya mula buat single ini pada 2018, di mana pada ketika itu saya buat untuk kawan saya yang tengah putus cinta dan menangis depan saya. Jadi malam itu juga saya ambil gitar dan terus rangka melodi.

“Saya ada juga beri sedikit sedutan di laman media saya. Alhamdulillah ia mendapat sambutan daripada peminat dan mereka meminta agar lagu ini siap sepenuhnya dan berada di semua pelantar digital. Saya berharap peminat saya berpuas hati setelah mendengar lagu ini,” katanya.

Kucaimars yang juga bintang Big Stage musim kedua turut kerjasama dengan Rudy Nastia dan Leo Azman.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Domestik Warner Music Malaysia, Shah Shamsiri berkata, pihak pengurusan berasa gembira kerana Kucaimars turut terlibat secara langsung dalam pembikinan single terbaharunya.

“Kami berasa gembira dengan pelancaran single terbaharu Kucaimars ini kerana dia sendiri terbabit secara langsung dalam penghasilan karyanya.

Iklan

“Harap para peminatnya dapat melihat kesungguhan Kucaimars yang bukan sahaja ingin menyanyi tetapi juga menulis lagunya sendiri,” katanya.

Mudah Bagimu yang diterbitkan Warner Music Malaysia boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes sejak 3 Julai 2020.

Iklan