SETELAH setahun tertangguh akibat Covid-19 dan kawalan pergerakan, kumpulan Slam akhirnya dapat merealisasikan impian mereka untuk membuat persembahan menerusi Konsert Slam Mentari Muncul Lagi.

Biarpun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, ia tidak menghalang kehadiran 1,500 peminat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Lebih istimewa, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli hadir menyaksikan konsert itu.

Turut hadir memeriahkan konsert ialah Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, teman selebriti seperti Ella, Shuib, Neves Pretty Ugly, Ajai, Along, Musa, Wany Hasrita serta Radin Era.

Persembahan selama dua jam itu dimulakan jam 8.45 malam dan Slam memilih lagu Biarkannya dari album studio kedua, Kesan Terbukti yang diterbitkan pada 1995 sebagai lagu pembukaan.

Tidak menunggu lama untuk memanaskan Dewan Plenary, Slam meneruskan persembahan dengan lagu Buat Seorang Kekasih, Manisnya Rindu, Rindiani, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Maria Mariana di set pertama.

Biarpun berdepan dengan masalah tulang belakang ataupun scoliosis, Zamani dilihat sentiasa bertenaga dan mampu mengekalkan vokal mantapnya serta hanya sesekali meminta kebenaran untuk duduk ketika menyampaikan lagu.

Sesekali meminta untuk membuat persembahan sambil duduk, vokal Zamani tetap mantap.

Malah figura berusia 51 tahun itu sempat bergurau dan berterima kasih kepada peminat yang masih setia menyokong kariernya bersama Slam sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 1991.

“Terima kasih kerana setia bersama saya dalam keadaan saya straight (berdiri lurus) ke, bengkok ke (merujuk fizikal tubuhnya yang membengkok) anda masih kekal menyokong kami.

“Saya harap hari ini anda bawa balik kenangan manis” katanya disambut dengan sorakan peminat.

Zamani juga tidak lupa berterima kasih kepada komposer, Saari Amri yang banyak membantu menaikkan nama kumpulan itu, di samping pengurus Slam, Johan Aziz.

Set kedua

Setelah berehat kira-kira 10 minit, Zamani bersama Slam kembali menghangatkan dewan menerusi seleksi sembilan lagu popular kumpulan itu seperti Kembali Merindu, Suratan, Sinar Menunggu, Kembali Terjalin dan Kurnia.

Shah sempat menyanyikan rangkap pertama lagu ciptaannya.

Ketika menyampaikan lagu Biarkan Ia Pergi yang merupakan ciptaan sepenuhnya gitaris kumpulan itu, Shah, Zamani sempat meminta Shah menyanyikan rangkap pertama.

Sesekali mengajak peminat menyanyi bersama, kumpulan itu terus menghiburkan hadiran penonton dengan lagu hits mereka, Jika Kau Terasa Getar, Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi.

Iklan

Menariknya, sebelum menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi, Zamani mengundang tiga peminat bertuah dan Ella untuk sama-sama menyanyikan lagu itu.

Zamani kemudiannya mengulangi lagu itu buat kali kedua tanpa peminat sebelum menutup tirai persembahan.

Selain Zamani dan Shah, persembahan Slam turut dijayakan oleh Man (drum), Eddie (keyboard), Paang (percussionist), Syafiq (pemain gitar jemputan) serta Lily (bass) yang diterbangkan dari Singapura.

Konsert itu sepatutnya berlangsung pada 17 Januari tahun lalu namun terpaksa ditunda dua kali disebabkan penularan Covid-19 yang membimbangkan.

Iklan

Kali terakhir Slam membuat persembahan berskala besar sebelum ini adalah pada konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 September 2016.

Untuk rekod, kumpulan itu pernah menerima Anugerah Persembahan Vokal Terbaik dalam Album dan Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun 1997.

Antara pencapaian lain buat Slam yang tersimpan erat dalam sejarah penubuhan mereka ialah memenangi tempat ketiga di Voice of Asia 1997 dan Anugerah Khas di Anugerah Musik Indonesia 1999.

Konsert Slam Mentari Muncul Lagi dibawakan khas oleh Shiraz Projects Sdn Bhd yang pernah membawakan konsert-konsert seperti Konsert M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan dan Konsert Exists Reunion.