SEORANG pempengaruh media sosial popular, Cik Yah memuji kecekapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugasnya dalam tempoh kurang sebulan.

Menerusi perkongsian di Instagram, Cik Yah memuat naik video animasi watak Cik Yah yang seronok dengan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa satu yang mula diterima rakyat Malaysia, pada Isnin.

“Terima kasih Cik Yah ucapkan kepada PM (Perdana Menteri) atas bantuan diberikan. Dapatlah kami tambah barang dapur yang serba berkurang ini.

“Kurang sebulan bergelar PM, cepat betul buat kerja. Tak tunggu lama untuk beri bantuan fasa satu kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Yang penting kerajaan menitikberatkan nilai ‘Keluarga Malaysia’,” tulisnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Cik Yah (@cikyahofficial)

Video tiga minit yang mendapat tontonan lebih 15,000 turut dibanjiri komen netizen yang bersetuju dengan pendapat Cik Yah itu.

Rata-rata komen yang ditinggalkan warganet mengakui mereka begitu terhibur dengan video berdurasi tiga minit yang dihasilkan Cik Yah.

Antara komen yang ditulis netizen terhadap video lucu terbabit adalah mereka terhibur dengan ayat Cik Yah mengenai keinginannya untuk muat turun semula aplikasi Shopee selepas dipadam kerana boros berbelanja.

Selain itu, Cik Yah juga memuji ketampanan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang hadir ke Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Putrajaya bagi meninjau situasi semasa hari pertama pembayaran BKC kepada para penerima, semalam.

Iklan

Lebih mengujakan, Cik Yah turut mempelawa Ismail untuk bersiar-siar di kampung halamannya dengan menaiki motosikal.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Iklan

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300, warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).

Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200), manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).