Kutip RM40 juta di Indonesia, Sayap-Sayap Patah bakal ditayangkan di Malaysia

A
A
A

SEBUAH kisah benar yang menyentuh perasaan. Justeru tidak hairanlah apabila ramai jemputan yang hadir menyaksikan pra tonton filem Sayap-Sayap Patah arahan Rudi Soedjarwo di sebuah pawagam di Jakarta pada 14 Ogos lalu dilihat mengalirkan airmata.

Ini kerana filem yang menampilkan lakonan Nicholas Saputra, Ariel Tatum, rapper terkenal Indonesia Iwa K, Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan, Revaldo dan ramai lagi berkisarkan tragedi berdarah yang berlaku di Lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018 apabila sekumpulan tahanan penggganas bangkit merusuh.

Dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara termasuk di peringkat antarabangsa ini, pertempuran hebat tercetus dan seramai 5 anggota polis Densus 88 dibunuh dengan kejam.

Sebaik ditayangkan di Indonesia sejak 18 Ogos lalu, filem genre drama tragis ini berjaya meraih sambutan hangat daripada lebih 2 juta penonton di republik itu dengan kutipan tiket sekitar RM40 juta.

Ada penonton yang menyifatkan Sayap-Sayap Patah sebuah filem genre thriller, namun kelihatan romantis dan berakhir dengan penuh tragis.

Malah ramai tokoh-tokoh terkenal memuji skripnya dan kualiti lakonan semua pelakonnya.

Ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Benny Rhamdani berkata, filem ini layak ditonton untuk sesiapa sahaja yang menyintai Indonesia.

Penerbit MoreADD Holding Berhad, Roslina Abd Majid berkata, Sayap-Sayap Patah mendapat sambutan hebat kerana keistimewaannya yang menggabungkan jalan cerita penuh dramatik bersama gandingan bintang ternama di Indonesia.

SAYAP-SAYAP PATAHROSLINA (kiri) bersama Nicholas dan Ariel ketika Tayangan Gala Sayap Sayap Patah.

"Kami sebagai pihak yang akan mengedarkan Sayap-Sayap Patah di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam cukup terharu dengan sambutan hebat penonton Indonesia terhadap filem ini.

"Malah sekumpulan media Malaysia yang turut diundang menonton Sayap- Sayap Patah di Jakarta pada 14 Ogos lalu turut mengakui filem ini sebuah karya terbaik dan cukup mengesankan.

"Mengikut perancangan, MoreADD Holding akan menganjurkan Tayangan Gala Sayap Sayap Patah di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober ini diikuti dengan tayangan umum di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam," katanya.

Dalam filem ini, Nicholas yang digilap bakat oleh Rudi Soedjarwo menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) kira-kira 20 tahun lalu, melakonkan watak Adji salah seorang anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel Tatum).

Sayap Sayap Patah diterbitkan aktivis sosial media terkenal Denny Siregar bersama Yoen K.

Lagu Ku Tunggu Senyummu dendangan Ipang Lazuardi telah dipilih menjadi OST filem blockbuster ini. Ramai memuji skor muzik serta kesan bunyi untuk filem ini yang banyak membantu babak-babak sedih, ceria dan mendebarkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca