BARU-baru ini, telah tular video seorang remaja yang terperangkap di dalam bank selepas mengeluarkan wang di mesin teler automatik atau automated teller machine (ATM).

Potongan video memaparkan aksi pemuda yang hampir terperangkap itu menjadi viral di laman sosial dan mendapat lebih 1.4 juta tontonan di aplikasi TikTok.

Lucunya, semasa video tersebut dirakam oleh rakannya, kedengaran lagu Kesetiaan yang dinyanyikan oleh Siti Sarah sehingga ada yang menyifatkan rangkap dalam lagu tersebut kena dengan situasi.

Tidak kurang juga yang mengatakan lagu itu menjadi lagu tema atau OST video berkenaan.

Tertarik dengan aksi pemuda dalam video dan komen warganet, penyanyi, Siti Sarah terbuka hati untuk memberikan hadiah kepada pemuda yang hampir terperangkap itu.

“Ya Allah adik. Tak berenti Sarah gelak bila ada orang bagi Sarah video ni. Katanya viral eh? Alahai, lucu ada, cemas ada, kesian pun ada. Sabar ye.

“Maaf Sarah gelak tapi keadaan itu lucu sikit. Lagu Sarah masa time BBNU dulu, ‘Kesetiaan’ dah jadi macam lagu tema dah.

“Sarah difahamkan memang pintu ATM akan automatik tutup masa jam 8 malam waktu lockdown ni.

“Lepas itu video ni kena pula part lirik lagu ‘ku hayunkan langkah kaki’ tu, sedang elok je ngam-ngam masa pintu tu nak tutup.

Iklan

“Risau pun ada jugak takut adik tak dapat keluar dari tempat ATM tu, tapi tengok video nombor dua ni, Alhamdulillah adik selamat keluar siap baca-baca komen lagi.

“Adik dalam video ni, sila mesej Sarah ye. Ada sesuatu hadiah istimewa yang Sarah nak bagi,” tulis Sarah.

Iklan

Dalam pada itu, usahawan hijab jenama Loveta itu turut mendoakan agar urusan pemuda viral tersebut sentiasa dipermudahkan.

“Apa pun Sarah doakan adik sentiasa selamat dan urusan dipermudahkan okey? Untuk semua peminat Sarah juga, Sarah doa semua yang baik-baik waktu lockdown ni,” ujarnya.