TIDAK mahu berputus asa dalam mengembangkan bakat nyanyiannya, pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail mahu kembali aktif dan memeriahkan industri muzik tanah air.

Jika sebelum ini, Ezuwan, 33, tampil bersama E1 Band yang turut dianggotai oleh Zulyasrani dan Ariff Imran pada tahun 2019, kini mengambil keputusan untuk bergerak solo.

Untuk permulaan, Ezuwan yang juga bapa kepada dua anak itu, merancang untuk tampil dengan sebuah single raya berjudul, Lambaian Pagi Syawal.

Bagaimanapun, karya ciptaan komposer terkenal, S Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa yang dirakamkan pada 10 Mac lalu itu terpaksa ditangguhkan pelancarannya atas sebab-sebab tertentu.

“Atas beberapa masalah produksi dan situasi pandemik Covid-19, nampaknya saya  terpaksa tunda niat nak keluarkan lagu raya itu pada tahun ini.

“Lagipun tahun ini ada banyak lagu raya baharu yang tular dan ‘catchy’ hadir memeriahkan musim Ramadan dan raya.

“Jadi ada hikmahnya lagu itu disimpan dulu sehingga tahun depan,” katanya.

Biarpun begitu, Ezuwan tekad untuk bergerak secara solo dan tampil dengan lagu-lagu terbaik selepas ini.

Iklan

“Tahun 2019 saya bersama E1 Band muncul dengan lagu Semalam Sahaja ciptaan Asfan Shah dan sebuah lagu raya, Rindu Lebaran yang juga dicipta oleh S. Atan.

“Bagaimanapun, kali ini saya nak cabar diri untuk cuba nasib menyanyi solo,” akuinya.

Dalam pada itu, kata Ezuwan, sebagai persediaan untuk bergerak secara solo, dia berusaha untuk menurunkan berat badan untuk tampil dengan lebih berkeyakinan.

Iklan

“Dalam tempoh sebulan, saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram (kg) di mana sebelum ini berat badan saya mencecah 83kg sebelum turun kepada 73kg.

“Saya bersenam dengan jurulatih kecergasan selain jaga pemakanan dengan cara yang betul,” jelasnya.