TIDAK mahu ketinggalan meraikan Aidilfitri tahun ini dengan lagu raya baharu, kumpulan Dolla tampil dengan single Raya Raya Raya.

Jika sebelum ini tidak banyak lagu raya baharu yang berjaya menarik perhatian, Dolla membuktikan sebaliknya apabila lagu raya pertama mereka itu mula diterima ramai.

Lagu tersebut masih mengekalkan konsep genre pop yang dibawa oleh mereka, namun dalam amsa sama disulam dengan irama tradisional, sekali gus memberi kelainan kepada Dolla.

Raya Raya Raya merupakan ciptaan bersama Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique itu menyaksikan Dolla berani bereksperimen dan membawa genre yang berbeza.

Menurut Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Angel, Tabby dan Syasya, lagu tersebut menyentuh mengenai percanggahan gaya tradisional dan moden untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Malah kata Dolla, perkembangan teknologi yang pesat telah mempengaruhi bagaimana mereka menyambut raya pada masa kini, terutamanya bagaimana alat dan platform media sosial yang signifikan mempengaruhi interaksi antara keluarga dan rakan.

Berkongsi tentang proses rakaman lagu Raya Raya Raya, Sabronzo berkata, ia mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk merakamkan lagu tersebut dan memakan masa seharian untuk sesi rakaman video muzik.

“Pengalaman merakamkan video muzik sangat menyeronokkan kerana kita semua berpakaian seperti di era ‘retro’.

“Tidak ketinggalan, tenaga positif yang wujud di antara warga kerja juga benar-benar membantu. Amat mudah bekerja bersama mereka kerana sentiasa diberi bimbingan dan tunjuk ajar.

“Oleh kerana kami adalah empat gadis dengan gaya dan idea nyanyian berbeza, mereka sangat terbuka dalam menerima segala jenis perubahan atau cadangan,” ujar.

Dolla bersama komposer dan wakil Universal Music Malaysia pada majlis pelancaran lagu Raya Raya Raya.

Sementara itu, Tabby pula menyifatkan single raya mereka itu agak berbeza, namun terasa seperti biasa didengari.

Raya Raya Raya mempunyai vibe lagu raya yang biasa tetapi mempunyai sentuhan karakter Dolla yang kuat, selain elemen-elemen yang menyeronokkan.

“Proses rakaman berjalan dengan lancar dan mudah bersama Faithful Music. Penuh dengan gelak tawa dan mereka amat membantu kami dalam mengekalkan kekuatan Dolla dalam lagu ini.

“Pada mulanya, terasa asing kerana ianya bukan genre yang kami biasa bawakan sebelum ini tetapi amat menyerenokkan untuk bereksperimen.” jelas Tabby.

Iklan

Bagi Angelina Chai atau Angel pula, lagu tersebut berjaya menunjukkan sisi lain Dolla yang lebih ke arah tradisional tetapi masih lagi lagi terasa muda.

“Dolla masih lagi menari, tetapi fokusnya lebih kepada menghayati lagu yang mempunyai jalan cerita di mana ia merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka.

“Saya berharap pendengar akan suka dengan lagu raya yang pertama Doll aini. Ia sangat ‘catchy’ dan membawakan kegembiraan untuk menyambut hari raya Aidilfitri walaupun kita masih dalam kekangan wabak covid-19,” kata gadis asal Sarawak itu lagi.

Iklan

Senada dengan Angel, Syasya yang merupakan ahli kumpulan yang paling muda menyifatkan lagu raya pertama mereka itu amat bermakna buat dirinya.

“Harapan saya untuk lagu ini adalah untuk membawa kenangan manis sewaktu menyambut hari raya kepada semua pendengar.

“Walaupun wabak covid-19 banyak menghalang kita melakukan pelbagai aktiviti kebiasaan di hari raya, namun saya berharap agar semua pendengar masih lagi dapat merasai kemeriahannya dengan mendengar lagu kami,” katanya.

Lagu Raya Raya Raya terbitan Universal Music Malaysia itu kini boleh didapati di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Dolla.