TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai perjalanan remaja ini dalam industri seni.

Bermula daripada sekadar suka-suka menyanyikan semula lagu cover di Instagram, akhirnya lelaki berusia 21 tahun itu berjaya bergelar artis rakaman.

Berkongsi pembabitannya dalam dunia seni, Lakaa Idris berkata, minatnya dalam bidang nyanyian sudah mula berputik sejak zaman kanak-kanak lagi.

Bagaimanapun berbeza dengan bakat baharu lain yang memilih untuk menyertai pertandingan nyanyian bagi menimba pengalaman, Lakaa terlebih dahulu mengikuti kelas lakonan yang dianjurkan pengarah Isma Yusof di Kuantan, Pahang pada tahun 2019 .

Daripada puluhan peserta hadir, hanya dia sahaja berminat untuk bergelar penyanyi, manakala yang lain lebih terarah kepada lakonan.

“Dalam hidup perlu ada keberanian dan saya sendiri memberanikan diri menyatakan minat untuk menyanyi dalam kelas lakonan.

“Jika tidak ada keberanian, mungkin peluang sebegini tidak diperoleh dan orang tidak akan nampak bakat saya.

“Kemudian penerbit, Jaja Ishak menawarkan peluang pada saya untuk bernaung di bawah pengurusannya.

“Saya memang tak berfikir panjang untuk menerima tawaran ini. Bagaimanapun ia juga adalah tanggungjawab besar untuk saya pikul.

“Harapnya perjalanan saya dalam bidang seni akan dipermudahkan dengan bantuan semua pihak,” jelas anak muda yang berasal dari Kuantan, Pahang itu.

Tidak hanya berpeluang menjadi artis rakaman, Lakaa juga diberikan peluang untuk merakamkan lagu Teguh Mimpi yang dijadikan runut bunyi untuk drama Anak Sena, kini ditayangkan di TV3.

“Memang benar peluang datang tidak pernah terjangka sama sekali. Saya sendiri bukanlah penyanyi profesional yang datang daripada program realiti atau sebagainya.

“Apabila diberikan peluang, sudah pasti ini menjadi satu penghormatan buat saya,” katanya.

Iklan

Teguh Mimpi merupakan lagu hasil ciptaan Amylea Azizan sepenuhnya. Lagu yang berkisarkan tentang kerja keras semangat juang untuk berjaya itu sememangnya dicipta khas untuk drama berkenaan yang mengangkat pekerjaan guru di perkampungan Orang Asli di Pahang.

Lakaa berkata, peluang yang diberikan kepadanya tidak dipersiakan untuk terus meneroka dunia seni tanah air selepas ini.

“Tidak semua penyanyi baharu dapat peluang seperti ini. Apatah lagi, bukan semua lagu akan menjadi runut bunyi drama.

“Apabila peluang itu datang, saya perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kehadiran saya diterima semua.

Iklan

“Apa yang saya harapkan agar lagu ini dapat memberikan semangat positif kepada semua,” kata anak sulung daripada empat adik beradik ini lagi.

Teguh Mimpi merupakan lagu terbitan Jaja Ishak Channel dan Alternate Records & Talents.

Lagu ini diedarkan oleh MVM Music sudah boleh didengarkan di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes dan video muzik rasmi sudah boleh ditonton mulai 26 Ogos lalu.

>> Ikuti perkembangan Lakaa melalui laman Instagram @lakaaidris__.