PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi impak besar kepada kehidupan semua orang ketika ini. Bukan sahaja terkesan dengan masalah kewangan dihadapi, tetapi juga mengganggu fokus dan arah tuju dalam kehidupan masing-masing.

Hal itu turut diakui bintang baharu sedang meningkat naik, Muna Shahirah, yang melihat tempoh dua tahun bergelut situasi itu menyebabkan banyak misi dan perancangannya dalam bidang seni tertunda.
Tidak mahu tunduk dengan kekangan tersebut, selebriti berusia 27 tahun itu memberanikan diri untuk tampil dengan single terbaharunya, Bukan Milikku.

“Sebenarnya saya gementar nak release single baharu dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) kerana bimbang dikatakan tidak prihatin dengan keadaan semasa.

“Bagaimanapun disebabkan ia adalah tuntukan kerja, saya perlu melunaskan tanggungjawab pada syarikat rakaman, sekali gus untuk peminat.

“Kita sendiri tidak tahu bila pandemik akan berakhir, sedangkan hidup perlu diteruskan,” ujarnya.

Masih mengekalkan genre balada, karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salih yang juga merupakan single kelimanya itu baru sahaja dilancarkan di semua platform digital pada 2 Julai lalu. Manakala muzik videonya pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube FMC Music.

Berkongsi tentang perkembangan terkini sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Muna berkata, dia cuba mencari alternatif untuk menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.

“Dalam situasi begini, kita harus bijak mencari peluang lain dan tidak hanya bergantung pada satu bidang sahaja.

“Macam saya sebagai penyanyi, kalau terlalu bergantung kepada bidang nyanyian sahaja, ia akan buat saya rasa tertekan kerana ketika ini semua aktiviti seni tidak dapat dilakukan.

“Sejak PKP dilaksanakan, tawaran persembahan sudah tidak ada dan program TV juga terbatas, sekali gus menjejaskan pendapatan anak seni seperti saya,” akuinya.

Tidak mahu hanya berpeluk tubuh dan menunggu situasi kembali pulih, selebriti kelahiran Mersing, Johor itu mula berjinak-jinak dengan permainan video, PUBG.

“Pada mulanya saya sekadar bermain di telefon bimbit, tetapi lama-kelamaan belajar sendiri melalui YouTube dan seterusnya mula stream PUBG melalui Facebook menggunakan komputer.

“PUBG bukan sahaja dapat menghasilkan pendapatan tambahan di luar jangkaan, tetapi membuka jaringan peminat baharu sehingga jumlah pengikut saya di Facebook kini mencecah 500,000 orang.

“Jadi dalam masa sama saya dapat mempromosikan single terbaharu di medium berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Muna turut meluahkan rasa sedih apabila melihat rakan-rakannya seangkatannya dalam industri terjejas teruk akibat PKP.

“Sebenarnya saya tergerak hati nak bantu, tetapi dalam masa sama segan nak bertanya kepada mereka kerana bimbang ada yang rasa tak selesa.

“Bagaimanapun, sama-sama kita berdoa agar Covid-19 cepat berlalu, sekali gus PKP ditamatkan bagi membolehkan kita semua dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya