MINAT mendalam terhadap dunia perfileman mendorong pemuda berusia 28 tahun ini meninggalkan perniagaan video grafik yang dijalankan hampir tiga tahun.

Berbekalkan minat dan pengalaman menghasilkan enam filem pendek, Kyle A Halim mengambil langkah berani untuk memohon Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada tahun 2019.

“Selepas nekad menghentikan perniagaan video grafik pada 2018, saya mendapatkan nasihat daripada abang ipar yang juga anak kepada pemilik Sabah Filem, Datuk Deddy M Borhan.

“Perkara pertama yang ditanya, adakah saya sudah memiliki lesen Finas? Jadi dia nasihatkan saya dapat lesen dan selepas itu baru dia cadangkan saya memohon sesi pitching untuk DKD,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media secara maya baru-baru ini.

Kyle (kanan) mempertaruhkan Syazuwan dan Alicia Amin selaku teraju utama.

Tambah graduan lulusan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) Sabah itu, dia pada awalnya menyangka gagal mendapat DKD selepas proses pitching berakhir.

“Saya berjaya mendapatkan slot tersebut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan salah seorang panel penilainya adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

“Bagaimanapun selepas tujuh bulan, saya sangka telah gagal kerana tidak mendapat sebarang khabar berita.

“Sehinggalah saya menerima panggilan untuk menghadiri program inkubator di bawah Finas pada November 2019 dan diletakkan di bawah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin selaku penerbit penyelia,” jelasnya yang layak menerima DKD berjumlah RM700,000 untuk menghasilkan filem.

Berbekalkan dana yang diperoleh, pemilik syarikat produksi, Kotaki Studios Sdn Bhd itu menghasilkan filem bergenre seram thriller berjudul The Disappearance of Irdina Adhwa.

Tukar perancangan

Naskhah yang diinspirasikan daripada filem Friday The 13th dan Tomb Raider itu mengambil masa selama setahun untuk disiapkan bermula proses pra produksi.

“Ketika proses pembikinan filem ini baru bermula, negara dilanda Covid-19 dan penggambaran yang awalnya dijadualkan berlangsung di Sabah terpaksa diubah.

Iklan

“Hanya 20 peratus sahaja penggambaran dijalankan di Kundasang, manakala selebihnya saya lakukan di Melaka” katanya yang mengambil masa 15 hari untuk menyelesaikan proses penggambaran.

Filem The Dissapearance Of Irdhina Adhwa bakal ditayangkan di Astro First pada 24 Februari ini.

Antara pelakon yang membintangi naskhah itu ialah Alicia Amin, Syazuwan Hassan, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

Iklan

Mengisahkan Sofia yang menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi mereka selesai.

Namun, berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama.

Bagaimanapun Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar untuk menyelamatkan diri.