SAMBUTAN hangat daripada penonton pada Lagu Cinta Kita musim kedua tahun lalu mendorong TV3 membawakan kembali program yang diadaptasi daripada rancangan popular, Love At First Song untuk musim ketiga.

Lagu Cinta Kita 3 (LCK3) diterbitkan bersama dengan kerjasama Motion Content dengan menampilkan dua selebriti popular sebagai pasangan hos iaitu Kamal Adli dan Ain Edruce, bakal bersiaran bermula 31 Oktober depan, setiap Ahad, jam 9 malam untuk lapan episod.

Program ini mengekalkan Ajai dan Mas Idayu sebagai juri tetap dan mereka akan ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap episod. Penilaian persembahan terletak di tangan panel juri sepenuhnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, musim lalu memperlihatkan beberapa finalis berjaya mencaturkan kerjaya seni mereka seperti Nadeera Zaini, Khareez Kasbah, Ahmad Adly dan Ratu Balqis.

“Lagu Cinta Kita merupakan program yang unik iaitu kami menampilkan peserta-peserta yang berbakat dalam nyanyian untuk disatukan menerusi pilihan lagu dan irama.

Iklan

“Selain itu, mereka juga diberikan tugasan menguji keserasian sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan antara peserta,” katanya.

Iklan

Juara Lagu Cinta Kita 3 bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000, manakala tempat kedua berjumlah RM30,000 dan tempat ketiga berjumlah RM 20,000.