MESKI hanya meraikan 1 Syawal berdua dengan ibu tercinta, penyanyi Wany Hasrita tidak pernah melihat ia sebagai kekurangan, sebaliknya menganggap ia nikmat yang perlu disyukuri.

Menurut pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 29, sambutan lebarannya tetap bermakna dengan cara tersendiri, biarpun tidak semeriah keluarga besar lain.

“Sebenarnya pandemik atau tidak, saban tahun saya dan ibu memang menyambut lebaran berdua sahaja. Tak banyak bezapun.

“Bagaimanapun raya kami setiap tahun tetap meriah dengan cara sendiri. Apa yang penting dapat raya bersama-sama dalam keadaan apa pun.

“Paling meriah bab makanan kerana ibu wajib menyediakan juadah raya kegemaran kami berdua seperti nasi impit kuah kacang dan rendang, sekali gus memberi feel yang sama dengan sambutan raya di kampung,” katanya.

Mengimbau nostalgia raya paling diingati, kata Wany, kesempatan pulang beraya di kampung ibunya di Bagan Datoh, Perak paling dinantikan terutamanya ketika arwah nenek dan datuknya masih ada.

“Rumah arwah nenek selalunya jadi tempat berkumpul semua orang setiap kali raya. Keluarga sebelah nenek juga besar, jadi memang meriah sambutan di sana.

“Rindu bila kenangkan semua itu. Tapi sehingga kini, biarpun datuk dan nenek sudah tiada, rumah induk itu masih menjadi tempat berkumpul, malah kami tetap pulang beraya bersama nenek-nenek saudara lain untuk meneruskan tradisi raya yang ada.

“Ibu dan ayah saya berpisah sejak kecil lagi. Jadi setiap tahun saya akan beraya dengan ibu terlebih dahulu dan pada raya ketiga atau keempat, barulah jumpa ayah dan beraya dengan keluarga sebelah sana,” akuinya.

Iklan

Menghargai peminat yang banyak menyokong kerja seninya selama ini, pelantun lagu Canggung itu berkata, dia turut meluangkan masa bersama mereka meskipun hanya secara virtual.

“Kalau ikutkan, waktu raya selalunya akan sibuk dengan aktiviti bersama keluarga, tapi saya juga faham ramai peminat yang nak beraya dengan kita.

Iklan

“Jadi saya luangkan sedikit masa untuk sesi beraya bersama mereka secara virtual. Walaupun hanya sekejap, tetapi sesi itu sangat bermakna kerana kami saling menghargai antara satu sama lain,” katanya beraya di rumah baharu yang dihadiahkan buat ibunya baru-baru ini.

 

(FOTO: Rosli Talib)