SEJAK mengambil keputusan untuk berhijab pada Jun 2019, jarang rasanya melihat kelibat suri hati Datuk Yusry Abdul Halim, Datin Lisa Surihani Mohamed di kaca televisyen.

Kalau ada pun hanya ulang siar beberapa naskhah lakonannya sebelum ini atau kemunculan istimewanya dalam program di stesen televisyen.

Justeru, ramai tertanya-tanya adakah bintang berusia 37 tahun itu sudah melupakan kerjaya seninya?

Tatkala ditebak dengan persoalan tersebut, wanita cantik berdarah kacukan Melayu Bugis, Cina, India dan Arab itu menafikannya.

LISA SURIHANI
Suami dan anak-anak kini jadi keutamaan Lisa.

Jelas Lisa, suami dan tiga cahaya mata mereka iaitu Yahaira Leanne, 7; Yusof Leonne, 5; dan Yunos Laith, 10 bulan, kini menjadi keutamaannya.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai isteri dan ibu, beliau sebenarnya tidak sedikit pun melupakan status sebagai anak seni.

Masih lagi aktif, cuma bagi Lisa, dalam tempoh ini pemilihan watak dan tugas perlu bagi mengimbangi tanggungjawab dirinya di rumah.

“Cinta saya terhadap bidang ini tidak pernah bernoktah. Bagi saya, seorang anak seni akan terus bergelar anak seni selamanya. Selepas negara semakin pulih dan sekarang berada dalam tempoh peralihan endemik, saya turut menerima beberapa tawaran.

“Buat masa ini, (tawaran) lakonan memang ada tetapi kalau ikutkan saya lebih suka dunia pengacaraan. Saya yakin dengan rezeki ALLAH SWT dalam bidang ini dan akan terus berada di sini selagi diperlukan,“ ujarnya.

Tidak hanya sibuk menguruskan rumah tangga semata-mata, bintang yang cukup popular menerusi filem Istanbul Aku Datang itu mengakui mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan.

Demi Suri

Sentiasa yakin dengan aturan Yang Maha Esa, Lisa tidak pernah melihat keputusan untuk terjun ke dunia bisnes terlalu lambat berbanding rakan-rakan seperjuangan yang lain.

LISA SURIHANI
Suri jadi taruhan terbaharu Lisa.

Tambahnya, bukan soal waktu, namun fokus dan usaha yang dicurahkan kini adalah untuk memastikan produk keluarannya menjadi antara jenama pilihan ramai pada suatu hari nanti.

“Niat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebetulnya memang sudah ada, namun tanpa pengalaman mahupun panduan yang betul membuatkan saya tangguhkan dulu.

“Sampailah saya merancang untuk muncul dengan jenama Suri. Ketika itu saya turut menyuarakan impian untuk bekerjasama dengan pihak Nori Malaysia. Alhamdulillah, mereka menyambut baik hasrat ini dan banyak membantu saya memulakan langkah baharu ini. Saya tidak rasa terlambat untuk belajar selok-belok dunia perniagaan,“ jelasnya.

Sementara itu, ditanya pandangan suami tentang kecenderungannya berbisnes, Lisa berkata, banyak keputusan yang dibuat berdasarkan pandangan Yusry.

Iklan

Ujarnya, lelaki kesayangannya itu menjadi penyokong utama. Malah, bukan soal perniagaan sahaja, Yusry sentiasa memberi semangat dalam apa juga perkara yang dilakukan sejak awal perkahwinan mereka lagi.

“Sebagai seorang pengarah, tambahan idea khususnya dalam sudut yang lebih kreatif, biasanya Yusry akan kongsikan bersama. Alhamdulillah, perjalanan saya sebagai seorang usahawan cukup indah sebab sokongan yang diterima daripada sang suami memang tidak berbelah bahagi,“ ujarnya sambil tersenyum.

Untuk permulaan, kata Lisa, beliau memilih memasarkan produk penjagaan rambut di bawah jenama Suri sebagai pengenalan perniagaannya.

Selain lebih dekat dengan namanya sendiri, beliau juga yakin Suri mudah diingati.

Iklan

Berkongsi lebih lanjut tentang produk syampu itu, ia  didatangkan dengan formulasi yang membantu mengatasi rambut bermasalah.

“Item ini bukan sahaja sesuai untuk semua golongan tetapi Suri juga dapat membantu mendapatkan rambut yang lebih sihat. Sebagai salah seorang yang turut mengalami masalah rambut gugur, saya bertemu dengan seorang pakar rambut, C Michael of London,“ katanya.

Ujar Lisa, perbincangan bersama pihak berkenaan akhirnya berjaya membawa kepada kewujudan Suri.

“Lebih penting lagi, saya mahu produk ini menepati keperluan pengguna. Membawa jenama sendiri memerlukan lebih banyak proses, bermula daripada pemilihan bahan dalam produk,malah bungkusan juga memerlukan keputusan sendiri.

“Jadi, melalui Suri, ia merupakan langkah awal saya dalam bidang perniagaan sebenarnya,“ akhirinya.