NAMA Liza Hanim dan Shila Amzah tidak perlu diperkenalkan lagi. Kedua-duanya memiliki vokal tersendiri.

Suara gemersik yang dianugerahkan ALLAH SWT kepada mereka menjadikan setiap karya yang dinyanyikan cepat menangkap halwa telinga semua.

Mengambil contoh Liza yang mempunyai julat vokal 3.7 oktaf, lantunan untuk lagu Getaran Cinta Di Jiwa, Merawat Luka Terpendam, Gelisah Mimpi dan Siapa Sangka Siapa Menduga sememangnya merdu dan ‘enak‘ untuk didengari.

Selepas berehat seketika, kemunculan selebriti yang sudah memiliki tujuh album itu pada program Gegar Vaganza musim ke-4 telah menobatkannya sebagai naib juara. Ternyata, meskipun sudah menginjak usia, dirinya masih berbisa.

Profil Shila juga cukup gah. Seorang selebriti yang prolifik, ditambah dengan kredibiliti yang mampu melantunkan lagu dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris mahupun bahasa Mandarin, beliau memang berada di dalam kelas tersendiri.

Tidak perlu mengulas pencapaian cemerlang di peringkat lokal, memiliki album bahasa Mandarin, My Journey yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa sudah membuktikan kehebatan anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sama ada Liza atau Shila, kedua-duanya sudah diketahui umum pernah berkerja dengan nama-nama besar dalam arena muzik.

Liza misalnya pernah berkolaboratif bersama komposer Adnan Abu Hassan, LY, Helen Yap, Ross Ariffin, Ajai dan Azmeer. Sementelah Shila pula pernah bergandingan dengan Audi Mok, Aubrey Suwito, Kieran Kuek dan Mode.

Namun, apabila lagu duet mereka bertajuk Bahagiakan Dia dihasilkan seorang anak muda yang langsung tidak dikenali di pentas seni, ramai meluahkan rasa hairan.

Justeru, pertanyaan mengapa mereka begitu berani mengalunkan naskhah daripada komposer baharu, Aliff Iskandar bertalu-talu diajukan.

Saling memuji

LIZA-SHILA
Tiada istilah ‘perang’ vokal, sebalik kedua-dua penyanyi berbakat besar ini saling memuji bakat masing-masing (Foto : Azrul Rafie -Astro)

Sambil tersenyum simpul, Liza mengambil tempat menjawab soalan tersebut. Katanya, pertama kali mendengar demo lagu dimainkan, beliau terus jatuh cinta.

“Bila dengar (lagu tersebut) saya kata dengan pengurus saya, memang sedap lagu ini. Kemudian, saya tanya siapa yang buat? Dia nyatakan nama dan saya memang tak kenal.

“Namun, pada saya, tak penting komposer itu baharu atau lama, asalkan naskhah yang dihasilkan memang bagus dan beri kesan,“ katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Lagu Bahagiakan Dia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shila turut senada dengan Liza. Ungkap anak kepada penyanyi veteran, ND Lala itu, beliau lebih menghargai individu yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu hal.

“Kalau tanya saya, orang yang bekerja keras boleh mengatasi orang yang berbakat pada bila-bila masa sahaja. Jadi, saya tak meletak bakat sebagai nombor satu, tetapi kerja keras diselangi dengan ilmu yang dibawa bersama.

“Beliau (Alif) telah menghasilkan satu karya yang baik dan kami mengharapkan ia menjadi satu permulaan untuknya melangkah ke hadapan,“ tuturnya.

Mengenai potensi Bahagiakan Dia untuk diketengahkan sekali gus menjuarai mana-mana pertandingan, Liza dan Shila mempunyai perspektif yang seragam.

Iklan

Kata mereka, kerjasama sulung tersebut diatur bukanlah kerana mengejar anugerah atau mahu menerima sebarang pengiktirafan.

“Paling penting bagi kami, lagu ini diterima oleh peminat sedia ada dan mungkin peminat baharu. Ya, kami memahami mana-mana komposer pun mengharapkan naskhah mereka diangkat, namun sekali lagi kami tegaskan, lagu ini perlu sampai kepada pendengar dulu,“ ujar mereka.

Disogok kononnya paduan suara yang digembleng umpama untuk berlawan vokal sesama sendiri, Liza dan Shila lantang menidakkannya.

“Kita nak lagu ini menjadi sinergi (satu),“ ujar Shila ringkas.

Pada petang yang harmoni itu, kedua-dua penyanyi tersohor tersebut tidak henti memuji di antara satu sama yang lain.

Iklan

Kepada SinarPlus, Liza berkata, pemilihan Shila sebagai gandingannya dalam Bahagiakan Dia satu keputusan yang tepat, meskipun sebelum itu terdapat cadangan artis lain.

“Mengapa tidak Shila? Dia merupakan penyanyi yang memukau dan saya senang bekerja dengannya. Shila seorang penyanyi yang ‘memberi‘, jadi ia menjadi sangat mudah,“ katanya sambil memberitahu, mereka mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menyiapkan proses rakaman lagu.

Bagi Shila pula, disatukan dengan seorang penyanyi malar segar yang berwibawa, merupakan satu penghormatan kepada dirinya.

“Kami ada buah fikiran yang serupa. Pada masa sama, saya dan liza tiada jurang besar. Saya juga tidak gementar sebab bapa saya dulu merupakan artis di bawah syarikat rakaman sama, SRC dengan Liza, jadi dia memang tak asing lagi bagi saya.

“Apa yang saya boleh katakan, kerjasama yang dijalin sangat istimewa kerana masing-masing ada watak tersendiri dalam naskhah ini,“ katanya.