WALAUPUN baharu sahaja bergelar ibu kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha Syameel Aqmal, penyanyi wanita bersuara emas, Ernie Zakri tetap hadir dengan single Raya solo berjudul Zapin Lebaran.

Menariknya, lagu hasil ciptaan Ernie bersama komposer Yuka Kharisma dirakamkan ketika masih dalam tempoh berpantang.

“Alhamdulillah, perasaan gembira itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila menimang cahaya mata pertama, saya juga turut merasa sedikit gementar kerana tidak sabar hendak membesarkan puteri sulung kami.

“Walaupun sekarang saya sedang fokus dengan anak, namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu Raya baharu pada tahun ini,” kata pemenang vokal terbaik AJL ke-32 dan 35.

ERNIE ZAKRIMenurut Ernie, Zapin Lebaran merupakan single Raya solonya yang pertama kerana sebelum ini belum berkesempatan berbuat demikian.

“Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu Raya sendiri, lalu saya mempelawa rakan pemuzik, Yuka Kharisma untuk turut serta dalam penghasilannya.

“Kami mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk mencipta lirik dan melodinya, manakala proses rakamannya pula dilakukan di rumah saya ketika masih lagi berpantang,” kongsi Ernie.

Zapin Lebaran mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin yang diperindahkan lagi melalui alunan petikan instrumen gambus yang menggamit nostalgia Raya zaman dahulu kala.

Jelas Ernie: “Saya terinspirasi menciptakan lagu ini kerana pandemik Covid-19 yang melanda kita semua, hampir 2 tahun kita diduga dan 2 tahun jugalah kita tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta dan rakan taulan.

Zapin Lebaran bermaksud sambutan meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam, bukan sahaja dari menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian dari yang Maha Kuasa.

Iklan

“Mungkin ada sinar harapan pada tahun ini apabila dapat merasa kembali suasana Raya setelah beberapa tahun tidak dapat menjenguk keluarga yang berada jauh di kampung halaman,” katanya.

Aidilfitri berbeza

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, selebriti berusia 30 tahun itu tidak menafikan bakal melalui sambutan yang berbeza.

Jelas Ernie, pemergian ibu mentua tersayang, Wan Faaizah Karim pada Ogos tahun lalu masih memberi kesan.

Iklan

“Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mertua, anak menjadi penyeri Raya kami nanti, Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga jadi perbezaan itu akan jelas terasa,” ujarnya.

Lagu Zapin Lebaran boleh dimuat turun di iTunes dan didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Muzik video single itu pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.