Macam ni pengakhiran saya dalam program ini? – Awal tidak lagi bersama Melodi

Awal Ashaari
Awal Ashaari
A
A
A

MENJAWAB teka-teki ramai, pengacara Melodi, Awal Ashaari mengumumkan pengundurannya daripada program hiburan popular itu pada Sabtu.

Menerusi perkongsian di laman lnstagram miliknya, Awal, 40, berkata, rakaman melodi pada Jumaat lalu (disiarkan hari ini) merupakan penampilan terakhirnya untuk program terbitan TV3 itu.

Menurutnya lagi, pihak stesen mengambil keputusan untuk menggantikan tempatnya dengan pengacara baharu yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Media Prima Berhad bermula Ogos ini.

“Dua minggu yang cukup sugul, bagi saya. Ikutkan hati nak berdiam sahaja, tapi memandangkan ramai yang dah bertanya, tak baik pula membiarkan peminat dan rakan-rakan media berteka-teki.

“Semalam, Jumaat 25 Julai, merupakan hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami bersiaran secara virtual dan petang semalam (Jumaat) merupakan rakaman saya yang terakhir bersama Janna, di rumah kami masing-masing.

“Tempoh dua minggu diberikan untuk kami menghabiskan dua episod terakhir sebelum Melodi memperkenalkan hos baharu mereka minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Awal yang juga merupakan suami kepada pelakon Scha Al-Yahya mengakui terkejut dengan keputusan tersebut, apatah lagi ia dilakukan ketika pandemik sedang mencengkam.

“Terkejut. Sebelum ini kalau ada pertukaran, kita akan boleh jangka. Ada bayangan, ada kiasan, ada sumber dalaman dan selalunya cukup masa yang diberi untuk transisi yang besar dalam kerjaya kami.

“Dua minggu? Tentunya satu keputusan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekangan tidak boleh bekerja dan industri seni tidak dibenarkan beroperasi.

“Khidmat yang saya curahkan sepanjang lapan tahun bergelar pengacara Melodi seolah-olah terhenti begitu sahaja,” luahnya.

Awal yang bersama team Melodi selama lapan tahun itu berkata, dia percaya kepada rezeki, qada dan qadar. Malah akuinya, dia reda dan sedikitpun tidak mengambil hati.

Bagaimanapun pengacara berpengalaman itu mengakui ralat dengan apa yang berlaku apabila tidak mempunyai kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada program tersebut dengan cara yang sepatutnya.

“Ralat. Itulah ungkapan yang paling tepat buat masa ni. Ralat tak sempat balik ke set Melodi untuk episod akhir. Ralat tak dapat buat proper handover kepada bakal pengganti saya. Ralat tak dapat jumpa team Melodi yang dah macam keluarga sendiri.

“Ralat tak sempat sign off program kesayangan saya ini. Ralat sebab tak sempat jugak untuk plan hala tuju kerjaya saya lepas ni.

“Selepas rakaman semalam (Jumaat), saya terdiam. Lama saya fikir, macam ini pengakhiran saya dalam program ni?

“Bukanlah minta untuk diraikan, cuma saya tak sempat nak bid farewell buat semua yang berjasa, bekerjasama dan menyokong sepanjang saya bersama Melodi,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Awal turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh team Melodi dan mereka yang menyokongnya selama ini.

“Kepada anda semua penonton Melodi dari mula-mula saya bersiaran sampailah ke episod terakhir esok (Ahad), terima kasih tak terhingga. Saya minta maaf sekiranya ada salah silap saya sepanjang saya mengendalikan Melodi.

“Kepada pihak pengurusan Media Prima, terima kasih kerana sudi beri peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada legasi Melodi. Bersama Melodi adalah satu pengiktirafan terbaik dalam kerjaya saya,” katanya.

Tidak hanya itu, Awal sempat menitipkan pesanan buat penggantinya dalam program tersebut.

“Kepada bakal pengganti saya di Melodi, tahniah dan saya yakin awak dapat menggalas tanggungjawab ini. Melodi bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab dan legasi yang diamanahkan kepada setiap pengacaranya.

“Saya mendoakan yang terbaik buat awak dan mendoakan Melodi akan kekal sebagai program hiburan nombor satu di Malaysia.

“Buat terakhir kalinya, Tingkatkan Prestasi, Kurangkan Kontroversi, Berdiri diatas bakat sendiri. Saya Awal Ashaari, signing off Melodi TV3,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca