SESUNGGUHNYA ALLAH SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada hamba-NYA melalui pelbagai cara. Model yang juga bintang televisyen Perancis, Marine El Himer mengumumkan telah memeluk agama Islam. Saat memeluk Islam beliau menyebut ia sebagai ‘hari paling bahagia’ dalam hidupnya.

Difahamkan, Marine sudah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan langsung tidak mendedahkannya kepada umum. Hanya pada hari Rabu iaitu 2 November lalu, beliau berkongsi berita gembira itu melalui laman Instagram miliknya dengan memaparkan beberapa foto dan video saat-saat penghijrahannya memeluk agama Islam.

Baca juga: “Sungguh istimewa, beliau melakukannya kerana ALLAH”- Sonny Williams luah gembira isteri berhijab

Marine memuat naik video saat beliau melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan imam di sebuah masjid. Memakai persalinan serba hitam, beliau melafazkan kalimah suci tersebut dengan lancar dan fasih. Marine meluahkan jalan penghijrahan itu adalah satu detik yang ‘baharu’ buat dirinya.

“Terdapat jalan yang perlu anda lalui bersendirian. Tiada kawan, tiada keluarga, tiada pasangan. Hanya awak dan Allah.

“Sebahagian daripada anda mengetahuinya tapi masih ramai yang bertanya soalan (tentang penghijrahan ini).

Marine juga berkongsi beberapa foto lain memaparkan penampilan dirinya yang memakai tudung dan berjubah di sekitar Kaabah di Masjidil Haram. Beliau mengharapkan perjalanan rohani yang dilaluinya akan sentiasa membawanya kepada YANG MAHA BERKUASA dan berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka sepanjang penghijrahannya itu.

“Moga perjalanan rohani ini akan terus mendorong dan membimbing saya, insya-ALLAH. Saya tidak malu menukar agama dengan memilih Islam kerana percaya agama Islam memberi ketenangan fikiran, hati dan jiwa.

“Ia adalah pilihan yang datang kepada saya dengan jelas dan saya mengamalkannya dengan bebas serta berasa bangga tentangnya.

“Ketahuilah, saya tidak ada rasa malu untuk menukar agama lain. Ia adalah hak asasi bahawa setiap orang harus hidup (memilih haluan) dengan bebas,” katanya.

Baca juga: Purata 10 orang peluk Islam di Perancis setiap hari… Hidayah ALLAH datang kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA

Iklan

Berita penghijrahan Marine disambut baik oleh peminat-peminatnya dan mereka mengucapkan tahniah atas keputusannya yang berani berhijrah sedangkan ketika ini beliau berada di puncak populariti.

LIMA INFO TENTANG MARINE EL HIMER

1- Dilahirkan pada Julai 1993 di Bordeaux, selatan Perancis.
2- Berketurunan Maghribi-Mesir
3- Mempunyai saudara kembar bernama Oceane El Himer.
4- Marine merupakan salah seorang model, bintang Instagram dan pempengaruh media sosial (influencer) yang terkenal di Perancis. Beliau memiliki lebih 1.5 juta pengikut di Instagram.
5- Marine muncul dalam rancangan televisyen realiti Les Princes et les Princess de l’Amour (Putera dan Puteri Cinta) di Perancis.

Baca juga: Nenek di United Kingdom dapat hidayah, peluk Islam pada usia 84 tahun

Iklan

Sumber: geo.tv, theislamicinformation.com, hidayatullah.com

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi