Marsha kembali pikat peminat dengan Cinta

A
A
A

MESKI dilihat seolah memperlahankan kerjaya seninya selepas mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lalu, Marsha Milan membuktikan sebaliknya apabila kembali tampil dengan karya terbaharu, baik dalam lakonan mahupun lakonan.

Ternyata Marsha masih mempunyai ramai peminat setia yang menyokong kerjaya seninya seawal bakatnya dicungkil dalam program realiti TV, Akademi Fantasia (AF) musim ketiga.

Selepas single Bimbang yang merupakan lagu runut bunyi (OST) drama Nur 2, kembali menjulang namanya, selebriti berusia 36 tahun itu kini tampil dengan buah tangan terbaharu, menerusi lagu berjudul Cinta.

Menariknya lagu hasil ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik itu turut terpilih menjadi lagu OST drama Masih Ada Rindu yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.

Berkongsi tentang single baharu itu, Marsha mengakui teruja dengan peluang diberikan kepadanya untuk menyanyikan single Cinta yang disifatkan cukup istimewa.

“Single Cinta menceritakan tentang seseorang yang mendapat kekuatan baharu seperti dilahirkan semula.

“Mesej lagu ini disampaikan dengan cukup indah menerusi lirik puitis, selain melodi dan susunan muzik segar.

“Satu penghormatan buat saya juga apabila lagu ini dipilih untuk menjadi salah satu lagu tema bagi drama Masih Ada Rindu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Marsha mengharapkan agar single terbaharunya itu dapat diterima ramai, malah menjadi siulan peminat sebagaimana karya-karya terdahulu.

“Inilah lagu yang saya ingin sampaikan kepada peminat yang selama ini sentiasa menyokong kerjaya seni saya.

“Saya berharap agar single Cinta menjadi siulan ramai, apatah lagi ia menjadi lagu tema drama yang pastinya mampu memberi impak tersendiri buat penonton,” katanya yang baru sahaja bebas daripada jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

Single Cinta edaran MonkeyBone itu dilancarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes serentak dengan tarikh siaran drama Masih Ada Rindu pada 2 Jun lalu.

Sebelum ini selebriti yang berasal dari Sabah ini juga pernah menarik perhatian ramai apabila terpilih menyanyikan lagu tema bagi filem animasi Disney popular, Frozen dalam versi bahasa Malaysia menerusi lagu Bebaskan.

Dalam perkembangan lain, nama Marsha juga kini kembali menjadi sebutan menerusi penampilannya dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa yang kini sedang hangat bersiaran di slot Megadrama, Astro Ria.

Memegang watak antagonis sebagai Nurul Huda, Marsha ternyata berjaya menghidupkan karakter tersebut sehingga mengundang kecaman ramai apabila ada penonton yang beremosi sehingga terbawa ke dunia realiti.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca