"Dada bagaikan ditindih, kaki tangan kebas. Paru-paru belum stabil"- Marsha kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19
TATKALA insan lain mengukir senyuman di samping keluarga meraikan Syawal, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh pula sebaliknya.
Selebriti kelahiran Sabah itu menahan kesedihan apabila kehilangan bapa mentua, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman, 60, pada 10 Syawal baru-baru ini.
Dilaporkan Allahyarham dijangkiti Covid-19 dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur.
Artikel berkaitan: Bapa Mertua Marsha Milan Londoh Meninggal Dunia Akibat Covid-19
Bahkan, Marsha berusia 35 tahun itu juga disahkan positif jangkitan koronavirus. Justeru, bagaimana pelantun lagu Hilang tersebut menguruskan diri dan emosi berdepan dengan situasi memilukan?
Jom ikuti kupasan lanjut sesi Live SinarPlus kendalian Addy Junaidi bersama Marsha yang popular dengan watak Nurul Huda menerusi drama Rindu Separuh Nyawa baru-baru ini.
Boleh Marsha kongsikan keadaan mental dan fizikal selepas pasca Covid-19?
Tidak keterlaluan saya katakan tiada istilah pasca Covid-19 selepas dijangkiti virus ini. Segelintir indvidu mungkin berpendapat selepas sihat, maka saya sudah bebas sepenuhnya.
Jawapan, tidak. Tubuh badan tidak akan sama seperti sebelum ini. Saya mudah penat, apatah lagi ketika menyanyi rasa tersangkut-sangkut.
Doktor pun sarankan supaya mengawal paru-paru agar tidak bekerja berlebihan dan menangguh sebarang aktiviti nyanyian buat masa ini sehingga badan stabil.
Mungkin proses penyembuhan mengambil masa antara satu hingga tiga bulan bergantung pada antibodi.
Alhamdullilah, setakat ini saya dah boleh ke sana dan ke sini. Bahkan, turut melakukan senaman dan menjalani fisioterapi dua kali seminggu bagi memastikan badan khususnya paru-paru bertambah baik.
Seperti dimaklumkan, doktor menyarankan supaya tidak menyanyi buat sementara waktu. Adakah ini bermakna Marsha akan stop dalam karier nyanyian?
Saya tidak berhenti terus cuma memperlahankan sahaja. Lagipun tiada undangan nyanyian memandangkan negara dalam tempoh total lockdown.
Pun begitu, saya masih boleh menyanyi, tetapi akan semput untuk menghabiskan satu lagu (ketawa). Diharapkan selesai perintah lockdown keadaan badan kembali okey.
Berbicara mengenai Covid-19, SinarPlus difahamkan bapa mentua telah meninggal dunia pada 10 Syawal lalu akibat jangkitan Covid-19. Jika tidak keberatan boleh Marsha kongsikan mengenai momen itu?
Sejujurnya sehingga hari ini, saya masih lagi sensitif kerana baru saja kehilangan arwah. Tapi, ingin saya kongsikan ayah mentua disahkan bebas jangkitan Covid-19 sebelum meninggal dunia.
Bagaimanapun, kesan virus tersebut telah merosakkan organ-organ di dalam badan arwah sehingga menyebabkan beliau tidak dapat survive.
Sebab itu, amat penting kita terus kekal mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan berusaha menjadi individu bertanggungjawab kerana kita tidak dapat menduga sekiranya itu adalah detik terakhir.
Saya sendiri pun tidak menyangka perkara seumpama ini akan berlaku, malah mengambil pendekatan berdiam diri pada tempoh itu.
Pada fasa tersebut saya gunakan untuk mengembalikan semangat yang hilang. Lebih-lebih lagi apabila disahkan positif Covid-19 bukan sahaja semangat, bahkan emosi juga terganggu.Bagi melawan jangkitan berkenaan prosesnya memerlukan semangat dan pemikiran yang positif memandangkan virus ini tidak mempunyai ubat khusus.
Jadi bagaimana pula dengan keadaan kesihatan suami dan ahli keluarga yang lain?
Alhamdullilah, semua okey. Kami banyak mengisi masa dengan aktiviti kelas mengaji dan tahlil bersama ahli keluarga sahaja.
Begitu juga diri saya sendiri yang mana semakin hari semakin baik berbanding hari pertama dimaklumkan positif Covid-19 dan fasa 'bertarung' dengan virus terbabit.
Mental pun okey cuma kini saya ekstra berhati-hati dan menjaga SOP kerana difahamkan sekiranya bekas pesakit Covid-19 terkena jangkitan kali kedua, maka berganda risikonya.
Saya dah lalui situasi itu dan ia amat sengsara. Sukar untuk saya menterjemahkan dengan kata-kata kerana lain orang, lain simptomnya.
Pengalaman peribadi, Covid-19 telah menganggu paru-paru dan sistem pernafasan saya termasuk mengalami batuk teruk tanpa henti.
Boleh kongsikan pengalaman sepanjang menjalani rawatan di hospital?
Keadaan di sana begitu padat hingga katil tidak mencukupi manakala jumlah pesakit di ICU (Unit Rawatan Rapi) pun penuh. Lebih menyayat hati melihat bayi berusia 40 hari juga dimasukkan ke wad.
Kondisi mental pada ketika itu memang down. Namun begitu, enggan membiarkan mental terus rapuh memasuki hari ketiga saya bangkit melawan kesakitan. Saya menggunakan kesempatan membantu jururawat dan sampai satu tahap mencuci tandas.
Paling sebak, frontliners yang lengkap dengan sut PPE (sut peralatan perlindungan diri) sedikitpun tidak menunjukkan reaksi wajah keletihan dan sentiasa tersenyum.
Walhal, jelas kelihatan tangan dan badan frontliners basah kuyup bermandikan peluh. Pengorbanan mereka benar-benar membuatkan saya terharu.
Nasihat Marsha kepada orang di luar sana khususnya pembaca SinarPlus?
Sebagai bekas pesakit Covid-19 saya mengambil tanggungjawab untuk memberikan kesedaran.
Jangan ambil ringan apabila mengalami simptom tertentu. Semasa bergejala, saya ingatkan anxiety kerana dada berasa terlalu sakit umpama ditindih manakala bahagian kaki dan tangan pula kebas.
Maka, saya segera bertindak mengasingkan diri dan menjalani ujian calitan Covid-19.
Sekali lagi, jangan bersikap sambil lewa apabila mengalami gejala. Segera rujuk doktor. Pada masa sama, terus kekal menjaga SOP.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang