KEMBALI menjadi bualan hangat selepas mencipta kejayaan manis di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Mac lalu, penyanyi dan pelakon Marsha Milan semakin bersemangat merangka pelbagai perancangan untuk kerjaya seninya selepas ini.

Bukan hanya dalam bidang nyanyian, tetapi pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh, turut mendapat semangat baharu dalam mengembangkan kerjaya lakonan.

Baru sahaja tampil dengan drama bersiri Viu Original, Seribu Nina, wanita 37 tahun itu berkata, selepas ini dia mahu lebih berani menyahut cabaran dengan membintangi filem aksi, sekali gus memberi transisi baharu dalam lakonannya.

“Dalam Seribu Nina, saya menjayakan watak wanita lasak bernama Didi. Jadi saya terlibat dengan beberapa babak pertarungan yang memerlukan persediaan rapi.

“Sebelum ini saya memang tak pernah buat watak seperti ini, jadi banyak benda baharu yang kena belajar termasuk mengikuti kelas dan sesi latihan bersama koreografer berpengalaman yang disediakan pihak produksi.

“Kalau ikutkan latihan tersebut hanya tiga sesi, tetapi saya tambah pula sesi sendiri bersama koreografer sama dan tidak kisah untuk mengeluarkan bajet sendiri demi memberikan yang terbaik,” ujarnya yang sentiasa bersungguh dalam setiap tugasan diberikan.

Marsha dan Syafiq Kyle dalam salah satu babak Seribu Nina. – FOTO: VIU

Ditanya adalah drama tersebut menjadi pembuka jalan kepada langkahnya dalam mempelbagaikan watak pada masa masa hadapan, Marsha pantas mengiyakan.

Tambah anak kelahiran Sabah itu lagi, meskipun berdepan kecederaan kecil ketika penggambaran, ia bukanlah penghalang buatnya untuk terus mencuba.

“Kecederaan ketika di set itu adalah perkara biasa untuk filem aksi. Bagi saya senaman dan latihan yang konsisten akan banyak membantu untuk melancarkan sesi tersebut.

“Perkara-perkara seperti itu membuatkan saya rasa teruja dan seronok untuk lebih banyak terlibat dalam peranan yang menampilkan saya sebagai wanita lasak pada masa akan datang.

“Saya harap ada orang nampak apa yang saya lakukan ini. Buat masa ini saya belum dapat tawaran yang benar-benar menguji, tetapi sekiranya ada saya tidak akan lepaskan,” katanya penuh semangat.

Kumpul lagu

Dalam pada itu, Marsha berkata kerjaya nyanyiannya tetap berjalan seiring dan kini dalam proses mencari lagu terbaik untuk diketengahkan sebagai single baharu tidak lama lagi.

Iklan

Sokongan luar biasa yang diterima selepas meraih gelaran naib juara dan Persembahan Terbaik di pentas AJL36 lalu ternyata memberi perspektif baharu buatnya.

“Alhamdulillah selepas AJL, seperti ada satu peningkatan dalam kerjaya nyanyian di mana orang mula nampak kerja keras saya selama ini.

“Sekarang saya dalam proses untuk cari material yang betul-betul boleh memikat hati pendengar kerana mereka kini meletakkan jangkaan tinggi pada saya.

Iklan

“Saya sudah ada direction untuk single baharu itu dan ia tidak lari jauh daripada lagu Cinta, cuma buat masa ini saya mahu kumpul dahulu beberapa lagu sebelum memilih yang terbaik,” katanya.

Biarpun sibuk memenuhi pelbagai aktiviti dalam kerjaya seni yang semakin rancak mengisi jadual, Marsha mengakui tetap mengutamakan rumah tangga.

“Suami sentiasa memberikan sokongan tidak bebelah bahagi pada saya dalam kerjaya seni, cuma dia sentiasa mengingatkan saya agar tahu membahagikan masa sebaiknya.

“Jadi saya perlu tahu bila masa perlu ada di rumah dan begitulah sebaliknya. Kena pandai-pandai uruskan masa,” akhirinya.