Maruah kami nak campak mana? – Chiwan luah rasa kesal

A
A
A

PELAWAK Chiwan meluahkan rasa kesal apabila persembahannya bersama kumpulan Taici gagal mendapat sebarang ‘Ha’ daripada barisan juri sekali gus menyebabkan mereka tersingkir dari pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) pada Jumaat.

Chiwan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak adil dan seolah-olah tidak menghargai usaha yang dilakukan mereka bertiga dalam persembahan tersebut.

“MLM adalah pentas keramat untuk semua pelawak di Malaysia. Di sinilah kami akan bermula untuk mencari tapak dalam industri lawak Malaysia. Di sini rumah kami dan di sini juga kami mencari rezeki.

“Kami bukan badut yang berada di atas pentas untuk memperbodohkan diri sendiri.

Dalam pada bertanding, pentas ini juga adalah pentas untuk kami menghiburkan anda semua.

“Tiap-tiap minggu kami memerah otak mencari content untuk dipersembahkan di atas pentas. Bila persembahan itu menjadi, kami dipuji dan diangkat setinggi tingginya tapi bila tak menjadi, kami ibarat pesalah yang menanti hukuman untuk dihentam,” luahnya di Instagram.

Tambah Chiwan, setiap peserta yang bertanding seharusnya dinilai berdasarkan persembahan mereka dan bukanya dipengaruhi populariti yang dimiliki.

“Kalau ada kekurangan sila nyatakan apa kekurangan kami supaya boleh diperbaiki untuk menjadi lebih baik.

“Nilailah kami sebagai anak seni yang berkarya di atas pentas, bukannya menilai kami seperti orang yang tak tahu apa itu komedi.

“Semua yang berada di atas pentas itu adalah yang terpilih, bukan random people. Cukup-cukuplah memandang populariti. Kami sedar kami kalah populariti tapi kami tahu apa itu komedi. Jadilah adil dalam menjuri,” tegasnya.

Dalam perkongsian sama, Chiwan juga mengakui terkejut apabila buat pertama kali dalam sejarah penganjuran MLM, peserta gagal mendapat sebarang ‘Ha’ daripada barisan juri.

“Untuk pertama kali dalam sejarah, tiada ‘Ha’ dalam MLM. Maruah kami nak campak mana? Kami ibarat orang bodoh dekat atas pentas itu yang tak buat apa-apa ke? This is nonsense.

“Kami tak kata kami layak untuk dapat ‘Ha’ yang banyak, sekurang-kurangnya berilah untuk effort yang kami dah berikan.

“Persembahan kami tak hebat mana malam tadi, tapi kami yakin dan dapat dengar gelak tawa orang dalam studio.

“Kami tahu anda semua juri tapi bila datang tu, enjoy the show bukan buat muka ketat. Kami tertanya-tanya persembahan kami semua untuk penonton atau untuk juri,” soalnya.

Bagaimanapun Chiwan merakamkan ucapan terima kasih buat kepada semua peminat Taici dan banyak menyokong mereka selama lima minggu beraksi di pentas MLM2021.

“Kepada yang menyokong Taici, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua.

“Maafkan kami untuk persembahan malam tadi. Jika ada kekurangan atau ada kata-kata yg mengguris hati mana-mana pihak. Kami terima rezeki hanya sampai di sini,” katanya.

Kumpulan Taici menamatkan persaingan mereka di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) apabila diumumkan tersingkir pada persembahan minggu kelima yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat.

Taici yang dianggotai Chiwan, Ilham dan Tapai gagal mendapat sebarang ‘Ha’ daripada barisan juri, sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan terakhir dengan markah 38.41 peratus dan tersingkir daripada persaingan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca