IMPIAN penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini untuk mengadakan konsert sulung tahun hadapan nampaknya tidak menjadi kenyataan apabila syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment mengumumkan konsert Hael Husaini Live In KL dibatalkan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, wakil daripada pihak Rocketfuel Entertainment turut memohon maaf atas keputusan yang tidak dijangka itu.

“Terlebih dahulu, kami memohon maaf sekali lagi kepada semua bagi pihak pengurusan di atas pembatalan konsert Hael Husaini Live In KL ini.

“Keputusan untuk membatalkan konsert ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor dan yang paling utamanya adalah faktor kesihatan Hael yang tidak dapat dielakkan setelah mendapat nasihat daripada doktor.

“Saya faham perasaan gusar yang bakal dirasai para pembeli tiket yang sudah pun membeli tiket konsert, saya memberi jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan ‘refund’ yang penuh,” ujar kenyataan itu.

Pihak Rocketfuel Entertainment turut menzahirkan rasa dukacita mereka diatas pembatalan konsert ini kerana segala persiapan sudah pun menghampiri 70 peratus dengan pelbagai aksi menarik yang telah direncanakan dengan lebih kurang 30 buah lagu yang bakal dipersembahkan.

Iklan

Kebelakangan ini, tahap kesihatan Hael tidak berapa baik oleh kerana jadual kerjanya yang terlalu padat, namun begitu dia masih giat dengan segala persiapan konsert sehingga tahap kesihatannya merosot dan setelah berbincang dengan doktor, dia dinasihatkan untuk berehat dan tidak melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu.

Iklan

Bagi proses pengembalian wang buat pembeli tiket konsert, sila hubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019 5881810.

Konsert Hael Husaini Live In KL pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Disember, namun ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 19 Februari 2023, jam 8.30 malam bertempat di Zepp Kuala Lumpur.