KEJAYAAN filem Penunggang Agama mendorong pengarah, Syafiq Yusof tampil dengan sekuel naskhah berkenaan, Penunggang Agama 2.

Bakal menemui penonton di Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, bermula 19 Oktober ini, filem terbitan Astro Shaw dan Skop Productions itu masih mengekalkan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz selaku teraju utama di samping watak baharu, Father Michael yang digerakkan oleh pelakon hebat Tony Eusoff.

Antara pelakon lain yang turut membintangi Penunggang Agama 2 ialah Puteri Nurqaseh (Sarah), Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Datuk Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Burhan Sidqi (Bakhtiar) dan Sharifah Aisyarha (Anim).

Bercerita lanjut mengenai Penunggang Agama 2, Syafiq berkata, dia tampil dengan kelainan apabila  mengetengahkan elemen berlainan agama sebagai kesinambungan naskhah pertama.

Bagaimanapun, demi mengelakkan kontroversi atau salah faham, dia terlebih dahulu merujuk seorang imam dan paderi di Cameron Highlands yang menjadi lokasi penggambaran mereka.

“Saya jarang lihat naskhah yang memaparkan dua elemen agama berbeza. Jadi demi membawa kelainan dan mesej positif, saya masukkan elemen itu.

“Saya cuba memberikan persembahan terbaik dan lebih mengujakan. Walaupun filem ni dalam skala kecil, saya harus tunjukkan kelainan.

“Bagaimanapun sebelum penggambaran dibuat, saya berjumpa dengan seorang ustaz serta seorang paderi dan tunjukkan skrip. Bila mereka baca skrip, kedua-duanya tidak ada masalah dan setuju dengan jalan cerita tersebut.

“Apa pun saya tidak buat secara terperinci atau sentuh agama dan kitab. Ia hanya pada dasar sahaja serta ada mesej,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Penunggang Agama 2 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Iklan
Kemunculan Father Michael membuatkan Amir berasa tidak senang.

Penunggang Agama 2 mengisahkan watak Amir lakonan Zul dan Anna (Azira) yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama.

Pada masa sama, seorang anak murid Anna bernama Anim hilang secara tiba-tiba sejurus pulang dari kelas mengaji yang dikendalikan oleh Anna.

Iklan

Amir pula mula obses dengan kerja sampingannya iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan diterima.

Bagaimanapun kehadiran seorang paderi bernama Father Michael telah mencabar ego dan kredibiliti Amir.

Siapakah Father Michael? Berjayakah Anim ditemui? Apa yang akan terjadi kepada Amir? Saksikan jawapannya di Astro First bermula 19 Oktober. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.