SELEPAS berhasil mengarahkan filem pertamanya, Tiada Tajuk, pada tahun 2019, penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi mengakui semakin jatuh cinta dengan dunia pengarahan.

Biarpun buah tangan pertamanya itu hanya mendapat kutipan tiket sederhana, namun ia menyuntik semangat buat Mawi, 41, untuk terus melangkah dan menghasilkan karya lebih baik pada masa hadapan.

Terbaru, bekas juara program Akademi Fantasia musim ketiga itu tampil dengan filem kedua arahannya, Hantu Kuat Ketawa yang bakal ditayangkan di platform Astro First (saluran 408) mulai 27 Januari.

“Selepas mengarahkan naskhah pertama, minat untuk terus buat filem itu berkobar-kobar. Ia datang dengan sendirinya tanpa dirancang.

“Saya mula tulis naskhah kedua ini sejak dua tahun lalu dan pitching di Astro. Tanpa saya sangka idea yang ditampilkan mendapat respons positif di mana mereka terus memberi kepercayaan kepada saya untuk siapkan filem ini.

“Dari awal saya memang mahu filem kedua ini ditayangkan di Astro First kerana situasi pandemik Covid-19. Lagipun, jalan cerita Hantu Kuat Ketawa sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan platform ini adalah pilihan tepat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut baru-baru ini.

Respek pelakon senior

Filem terbitan bersama Al Najwa Production dan MW Entertainment itu menyatukan kembali pasangan pelakon komedi, Saiful Apek dan Syanie sebagai teraju utama.

Berkongsi cabaran mengarahkan bintang senior tersebut, Mawi menyifatkan Saiful Apek dan Syanie sebagai anak seni yang sangat merendah diri dan terbuka menerima pendapat.

“Mula-mula masuk set, saya dalam dilema juga kerana sebagai pengarah saya ada kehendak dan misi tersendiri dalam karya ini.

Iklan

“Namun saya ada perasaan segan memandangkan mereka adalah pelakon senior dan jauh lebih berpengalaman. Saya risau kalau-kalau saya dilihat seperti mahu mengajar mereka berlakon pula.

“Bagaimanapun saya sangat respek dengan Saful Apek dan Syanie yang begitu memahami dan memberikan kerjasama terbaik mereka. Biarpun mempunyai nama besar dengan pengalaman luas dalam industri, mereka sangat merendah diri dan terbuka menerima pandangan orang lain,” katanya.

Selain Apek dan Syanie, Hantu Kuat Ketawa juga dibintangi oleh Zarina Anjoulie, Along Cham, Zalif Sidek, Anas Tahir, Keifli AF3 dan ramai lagi.

Iklan

Mengulas tentang elemen Islamik yang sering ditampilkan dalam setiap karya, Mawi mengakui ia seperti sudah menjadi trademark buat dirinya.

“Sebenarnya saya tak rancang pun untuk jadikan elemen Islamik sebagai kemestian dalam karya saya, tetapi ia terjadi secara natural. Bila menulis atau mengarah, saya akhirnya akan ke situ (elemen Islamik).

“Bukan mahu berdakwah atau bersyarah dalam karya, tetapi sebagai pengarah dan penulis, saya mahu sampaikan sesuatu yang bermanfaat buat penonton. Itu misi saya,” katanya yang kini dalam proses awal menghasilkan filem ketiga.