NAMA MeerFly barangkali agak asing buat peminat industri seni. Bagaimanapun penglibatan bakat baharu kelahiran negeri di bawah bayu itu dalam industri seni sudah bermula sejak 2019 lagi dan cukup dikenali sebagai penyanyi rap generasi baharu.

Lagunya seperti Haa Tepok, Aku Nak, Makan Cili, dan Bossku mencetuskan fenomena tersendiri. Dia juga aktif berkolaboratif dengan penyanyi rap lain termasuk MK K-Clique dan Kidd Santhe.

Tampil dengan buah tangan terbaharunya, Duit, MeerFly bereksperimen menerusi lagu berkisarkan pemikiran materialistik manusia.

Menariknya Duit menyaksikan kolaboratif MeerFly bersama komposer Farouk Roman. Gabungan unik itu mencantumkan dua hala tuju yang cukup berbeza dalam sebuah lagu.

Berkongsi mengenai lagu itu, MeerFly mengakui melodi terbabit  melengkapi kekuatan mesej yang ingin disampaikan.

Baginya, elemen rock keras yang disuntik amat sempurna dengan jalan cerita lagu Duit berkisar kealpaan manusia hanyut kepada godaan wang.

“Secara peribadi, saya suka cara saya bawa lagu ini. Terdapat empat corak berbeza saya cuba dalam lagu ini yang belum pernah dibuat dalam mana-mana lagu sebelum ini. Bahagian paling mencabar tentunya pembawaan corak baharu itu. Duit adalah sebuah eksperimen yang mencabar namun proses hasilkan muziknya paling memuaskan,” katanya.

 Menariknya, lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer yang kini ditayangkan di Astro Ria, jam 11 malam.

Iklan

Drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, dan ramai lagi.

Bertepatan dengan tema cerita itu sendiri, MeerFly juga menyifatkan lagu Duit cukup sempurna menggambarkan perjalanan kisah drama Scammer. Baginya, penonton drama pasti akan dapat merasai sendiri betapa lagu itu ada kesinambungan yang cukup menarik apabila mengikutinya kelak.

Iklan

“Bagi saya, lagu Duit ini boleh menyentuh sesiapa saja kerana ia adalah topik yang cukup meluas diperdebatkan sejak azali lagi. Ia mampu memberi pengajaran buat sesiapa juga termasuk diri saya sendiri. Bagi pendengar yang suka meneroka lirik lebih mendalam, pastinya akan mempunyai interpretasi sendiri terhadap lagu ini,” katanya.

Duit boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.