Meerqeen sedia tawan pasaran Indonesia, Modus Operandi jadi penentu

A
A
A

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Pepatah ini barangkali sesuai untuk menceritakan perjalanan karier seni pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020, Meerqeen.

Semakin ligat mengatur langkah di persada seni, Meerqeen kini bukan hanya dikenali ramai di Malaysia, tetapi juga negara seberang, Indonesia.

Buktinya, selepas kejayaan drama Melur Untuk Firdaus yang melonjakkan namanya di negara itu, rezeki Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam terbuka luas apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan produksi di sana.

Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Standfirst: Modus Operandi yang turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.

“Memang ini pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka membuka mata ramai, termasuk produksi luar yang mula menyedari kehadiran dan mempercayai bakat saya,” ungkap Meerqeen.

Jejaka berusia 21 tahun itu begitu teruja berkongsi pengalaman menjayakan sebuah web drama untuk Bank Rakyat Indonesia.

Meerqeen bersama antara barisan pelakon Modus Operandi.

Jelasnya, web drama berjudul Modus Operandi itu bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi juga memberikan pengalaman baharu untuk terus meneroka peluang kerjasama dengan produksi lain di Indonesia.

“Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

“Sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan yang besar, terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia,” jelasnya.

Teraju utama

Menariknya, Meerqeen diberikan peranan sebagai teraju utama dalam drama berkenaan dan gembira dapat bekerjasama pengarah yang cukup berpengalaman iaitu Makbul Mubarak.

“Memang saya teruja, pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.

“Tapi saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama semasa proses praproduksi. Kami terlibat dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya,” ujarnya.

Meskipun drama berkenaan masih belum ditayangkan, Meerqeen bersyukur apabila dia turut dirisik beberapa produksi lain yang melihat potensi dirinya untuk terus menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Tambahnya, dia masih memikirkan tawaran yang diterima, namun tertarik dengan sebuah produksi yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk sebuah program televisyen.

Sebagai info, Modus Operandi mula ditayangkan pada 4 November menerusi saluran YouTube BRI (Bank Rakyat Indonesia).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca