PENYANYI Wany Hasrita terkejut dan menafikan khabar angin yang mendakwa dirinya sudah selamat bergelar isteri pada Sabtu lalu.

Menurut Wani atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, sekiranya perancangan untuk mendirikan rumah tangga menjadi kenyataan, dia tidak akan menyembunyikan berita tersebut daripada media dan akan berkongsi dengan semua.

“Mana dengar cerita ni? Saya belum berkahwin, belum masanya lagi. Sabtu lepas saya sibuk di RTM kerana terlibat dalam program Borak Dulu Baru Buka sebagai pengacara.

“Setiap orang mempunyai perancangan untuk berkahwin, begitu juga dengan saya. Bagaimanapun bukanlah dalam masa terdekat ini.

“Bila segalanya sudah ada ketetapan dan tiba masanya, saya akan berkongsi kepada semua. Jangan risau, saya akan kongsi dulu, baru kahwin,” ujarnya yang ditemui pada majlis Berbuka Puasa Bersama Armani Entertainment di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Canggung itu tidak menolak kemungkinan bakal berkahwin pada tahun ini, namun enggan berkongsi lebih lanjut tentang perkara tersebut buat masa ini.

“Perkara ini masih baru dan saya pun tak boleh nak cakap lebih-lebih bagi menghormati semua pihak.

“Soal merisik bertunang dan sebagainya itu biarlah saya simpan sendiri bersama keluarga. Namun soal nikah kahwin nanti, saya pasti akan beritahu pada semua,” katanya yang sudah menghadiri kursus perkahwinan pada tahun lalu.

Tambah Wany lagi, pada usianya yang kini meniti fasa kematangan, dia enggan membuang masa dan mahu terus membawa perhubungan yang terjalin kepada perkahwinan.

Iklan

“Kita berkawan niatnya memang nak menuju kepada perkahwinan. Dalam usia 30 tahun ini, fasa main-main memang sudah berlalu. Sekarang kena betulkan niat untuk berkahwin.

“Saya juga lega apabila impian untuk bertemu jodoh dengan seseorang yang bukan dalam industri hiburan bakal menjadi kenyataan,” katanya.

Iklan

Ditanya tentang impian majlis perkahwinannya kelak, Wany mengakui hanya mahu mengadakan sebuah majlis yang sederhana.

“Saya tidak mengimpikan majlis mega, tapi cukuplah sebuah majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat. Walaupun sudah masuk ke peralihan ke fasa endemik, saya rasa kita masih perlu menjaga diri dengan pematuhan SOP.

“Lagi pun kalau untuk majlis pernikahan, saya suka suasana yang ‘intimate’, namun akan jemput pihak media bersama,” katanya yang bakal tampil dengan single baharu bersama Datuk Jamal Abdillah tidak lama lagi.