TIDAK hanya ulang tahun kelahiran dan sambutan perayaan yang diraikan pada setiap tahun, bahkan hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru juga menjadi acara penting untuk dirayakan.

Semuanya memiliki satu tujuan sama iaitu menghargai setiap pengorbanan dan berterima kasih di atas kehadiran individu-individu yang sangat penting dalam kehidupan kita.

Sama juga dengan Hari Lelaki Sedunia yang jatuh pada tanggal 19 November lalu. Bagi menyemarakkan suasana, SinarPlus memilih penyanyi suara lunak dan seorang bapa yang ‘sempoi‘, Black Hanifah menjadi penghias muka depan kami.

BLACK mempamerkan kemahirannya menunggang motosikal melalui kawasan selekoh di litar Motorcross Track Ulu Yam, Selangor.

Seleksi itu dikira bertepatan apabila profil seni Black dilihat terus cemerlang. Grafnya dalam pentas nyanyian terus meningkat, sementelah dunia lakonan masih memerlukannya melakonkan watak-watak yang signifikan.

Ya, bercerita mengenai Hari Lelaki Sedunia, ia bukan sahaja berkisar tentang individu, malah turut memperihalkan banyak aspek. Salah satunya adalah mengenai hal kesihatan.

Menyentuh soal itu, Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah yang ditemui di tapak Motorcross Track Ulu Yam, Selangor baru-baru ini berkata, memegang status sebagai suami atau bapa sememangnya memerlukan ketelitian yang tinggi dalam soal penjagaan diri dan penyakit lebih-lebih lagi negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Ujar selebriti berkenaan: “Sebagai ‘kepala‘ keluarga, lelaki perlu sentiasa kelihatan sihat dan kuat di hadapan isteri dan anak-anak. Ini kerana lelaki adalah tulang belakang famili yang tujuannya bukan sekadar mencari nafkah, tetapi juga pelindung kepada yang lain.“

Sehubungan itu, penyanyi lagu Anugerah Terindah berkenaan mengakui, amat menitikberatkan soal pemakanan seimbang.

Berkongsi mengenai diet harian, Black sentiasa mendapat nasihat daripada doktor mengenai menu apa yang bagus untuknya.

Begitu juga dengan aktiviti riadah atau senaman. Bukan apa, sesuatu yang ingin dilaksanakan mestilah seiring dengan usia dan kekuatan fizikal.

BLACK mula mendidik Dayyan bermain sukan motosikal lasak sejak anaknya itu berusia empat tahun. Kini Dayyan sudah mahir mengendalikan motosikalnya sendiri meskipun baru berumur tujuh tahun.

Kata Black, pandangan pakar juga penting kerana tangan kirinya terpaksa dimasukkan besi akibat kecederaan akibat sukan motosikal lasak sekitar tiga tahun lalu.

“Waktu muda memang kita akan fikir semua benda boleh buat, semua benda boleh makan, tetapi bila sampai waktu tertentu, ada yang boleh dihadam dan ada yang perlu dicegah.

“Sama juga dengan saya, sekarang umur dan mencecah 34 tahun, jadi sudah tiba masanya untuk saya lebih berjaga-jaga soal penjagaan diri sendiri. Pernah sebelum ini saya makan tanpa peduli sehingga mengakibatkan saya kerap mengalami masalah pedih ulu hati.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor maklumkan, asid tersebut sudah sampai ke bahagian tekak dan telah membuatkan suara saya menjadi serak. Isu itu mendatangkan kesukaran kepada saya untuk menyanyi dengan baik,“ katanya sambil memberitahu, jam 8 malam merupakan waktu terakhir beliau menjamah makanan setiap hari.

Jiwa ekstrem

Bagi meneruskan momentum kecergasan dan sejajar dengan kecintaannya, Black bertekad untuk terus aktif dalam sukan lasak lebih-lebih setelah larangan merentas negeri dimansuhkan baru-baru ini.

Ujar selebriti yang pernah bermain dalam pasukan bola sepak PKNS pada kejohanan Piala Presiden, hal-hal sebegitu sebenarnya merupakan salah satu metodologi yang dipraktikkannya untuk mengeluarkan peluh, sekali gus menjaga kesihatan tubuh badan.

Meskipun ketika pertemuan kami, hujan lebat telah menyebabkan litar di tapak Motorcross Track Ulu Yam berlumpur, kekangan itu sedikit pun tidak menghalang Black terus menunjukkan aksi yang mendebarkan.

Kru SinarPlus juga tanpa menghiraukan cuaca terus merakam potret beliau. Selepas meletakkan motornya di satu sudut, Black terus membutirkan kata.

BLACK bersama anaknya sulungnya, Dayyan yang turut meminati sukan permotoran .

“Apabila kita sudah mengetahui teknik dan cara untuk mengawal motor, ia akan menjadi bertambah menarik dan turut menghadirkan suatu kepuasan yang sukar nak digambarkan,“ katanya.
Black juga meluahkan rasa terujanya apabila hobi yang dilakukan selama ini kini turut digemari oleh anak-anak terutama Dayyan.

“Sekitar usianya empat tahun, Dayyan sudah mula menunjukkan minat. Ketika usia 10 tahun, saya juga jatuh cinta dengan ‘benda‘ yang sama dan alhamdulillah mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tua.

“Jadi, untuk Dayyan, saya juga menyokong dan memberi galakan padu kepadanya. Kalau bersembang, kami anak beranak seronok bercerita macam-macam hal tentang sukan permotoran lasak ini,“ jelas Black yang ternyata gembira dengan aura positif berkenaan.

‘Nyawa‘ Black

Selain soal kesihatan, titik fokus anak jati Kuala Lumpur itu ialah keluarga yang menjadi sumber kekuatannya selama ini. Isteri kesayangan, Naquia Yasirah Mohd Khairi (Cira) dan dua anaknya, Dayyan dan Rindu Dayyana menjadi kayu api yang terus membakar semangat dan menjadi kekuatannya.

Black memberitahu, masanya banyak dihabiskan bersama keluarga berbanding sibuk melayan kerenah sendiri. Walaupun jadual kerja sesekali mengehadkan pertemuan mereka sekeluarga, beliau bagaimanapun bijak dalam mengatur segalanya.

Masakan tidak, berada di bawah pengurusan sendiri, Nyawa Black Music, Black berterima kasih dengan bantuan isteri yang membantunya dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga dan kewangan.

Iklan
SETIAP kali mempunyai masa terluang, Black akan melakukan aktiviti kegemarannya iaitu bermain motosikal lasak.

Saat dirinya sibuk mengabdikan diri di studio membuat lagu, Cira menggalas tanggungjawab menjaga famili.
Tidak mementingkan diri sendiri, Black berkata, sekali-sekala beliau mengizinkan isteri untuk bersama rakan-rakan atau memiliki ‘me time‘. Maka, ketika tiada ketiadaan wanita yang dicintainya itu, kedua-dua anaknya yang comel berada 100 peratus di bawah pengawasan beliau.

“Jujur, saya tidak mempunyai masalah untuk menjaga anak. Rumah tangga perlu seimbang dan perlu ada sikap tolak ansur agar masing-masing tetap mempunyai masa untuk diri sendiri.

“Kalau nak diikutkan, tawaran persembahan banyak dilakukan pada hujung minggu, jadi ketika hari biasa, saya memilih untuk melakukan aktiviti riadah dengan keluarga bagi mengeratkan hubungan. Pilihan saya selalunya lebih kepada konsep alam semula jadi,“ katanya.

Menariknya tentang penyanyi lelaki popular itu, beliau memilih untuk berkhemah di kawasan yang sukar untuk mendapat talian internet.

“Apabila anak-anak tidak dapat menggunakan gajet, saya akan habiskan masa berbual dan bercerita dengan mereka,“ ungkap bapa bijak itu.

Seperkara, Black juga telah merenovasi kawasan belakang rumah dengan menjadikannya sebagai lokasi untuk mereka sefamili menonton wayang sambil bersantai.

Metroseksual?

Seiring dengan Hari Lelaki Sedunia, perbualan dengan Black tidak hanya bercerita tentang minat dan kasih sayang, tetapi turut diusik dengan perbualan tentang stailnya.

Sudah pasti ‘tugas‘ sebagai selebriti perlu membuatkan beliau tampil bergaya dan menjaga imej terutama ketika berada di depan khalayak. Bagaimana beliau memastikan itu semua sempurna dan adakah seorang lelaki perlu lebih bersifat metroseksual (lelaki urban yang mementingkan rupa dan fesyen) sama seperti wanita?

Iklan

Mendengarkan pertanyaan itu, Black seraya melontarkan soalan: “Adakah tidak maskulin bagi lelaki jika pergi mendapatkan rawatan di spa kecantikan atau menjaga keterampilan?“
Seusai itu, beliau melanjutkan kata.

MESKIPUN gemar melakukan aktiviti lasak, Black tetap meluangkan masa untuk ke pusat kacantikan bagi mendapatkan rawatan wajah dan rambut.

Bersih dan kemas sudah pastinya akan menjadikan seorang lelaki itu kelihatan kacak, tetapi maskulin juga boleh diterjemahkan dengan perwatakan dan perilakunya terhadap wanita, tegasnya.

“Lelaki itu akan benar kelakiannya apabila berani dan jujur dengan diri sendiri dan keluarga. Selain itu, menghormati mereka yang berada di sekeliling dan tidak ego untuk memohon maaf setelah melakukan kesalahan juga adalah satu ciri kelakian,“ ujarnya.

Black turut menepis kata-kata nakal yang mengatakan kaum Adam tidak cukup ‘gagah‘ jika memiliki minat sama seperti wanita. Antaranya seperti gemar ke pusat kecantikan, menitikberatkan soal pilihan pakaian, penjagaan kulit wajah dan kebersihan diri.

“Mengapa menilai dari sudut pandang sebegitu? Saya sendiri pergi ke spa kecantikan untuk rawatan wajah. Saya juga menjaga penampilan diri seperti menanam rambut agar dapat mengubah penampilan daripada biasa. Adakah saya tidak cukup ‘lelaki‘ jika melakukan itu semua?,“ soalnya yang meninggalkan kata-kata yang cukup mendalam.

Namun, bagi penulis menjaga penampilan dan fizikal tubuh tidak hanya terhad kepada satu jantina sahaja. Paling utama lelaki itu tetap berlandaskan fitrah, meskipun bergelar seorang lelaki metroseksual.

Selamat menyambut Hari Lelaki Sedunia 2021

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram