APABILA bercakap soal fesyen dan gaya selebriti tempatan, nama Tym Fatimah pastinya tidak asing lagi, sementelah beliau sendiri sudah lebih dasawarsa berada dalam dunia tatarias di negara ini.

Segala sepak terajang dalam melakukan kerjaya tersebut bagaikan sudah sebati dengan sanubarinya.

Sebenarnya, penulis memang berhasrat untuk bertentang empat mata dengan wanita yang memiliki personaliti tersendiri itu. Namun, apakan daya, situasi wabak Covid-19 yang masih bermaharajalela membuatkan segala perancangan tergendala.

Justeru, bicara santai kami hanya menerusi perbualan di hujung corong telefon sahaja. Meskipun sekadar ‘bertentang‘ suara dengan penata rias yang selesa membahasakan dirinya sebagai Tym, penulis dapat merasakan bahawa beliau seorang personaliti yang mudah didekati dan ramah orangnya.

Petah dalam berkongsi cerita mengenai penglibatan dalam menata gaya, Tym atau nama penuhnya yang penuh klasik, Fatimah Puteh memberitahu, langkah awal ketika menceburi bidang fesyen berlaku secara tidak sengaja. Ia bukan dirancang seperti yang ramai fikirkan.

Pun demikian, beliau tidak menafikan jati dirinya mempunyai jiwa seni yang halus dan mengakui fesyen termasuk proses menata gaya adalah sebahagian yang menjadi kecondongannya.

“Pada peringkat awal, saya ingin menjadi seorang pereka hiasan dalaman. Namun, disebabkan Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak tidak menyediakan jurusan tersebut, saya tiada pilihan lain selain memilih jurusan rekaan fesyen,” ujarnya.

Selepas tamat pengajian, wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu menimba pengalaman dengan bekerja sebagai pengurus di sebuah butik pakaian jenama antarabangsa, Ted Baker.

Selepas lima tahun meneroka bidang berkenaan, Tym kemudian beralih arah menjadi seorang penata gaya di sebuah stesen televisyen tempatan pula.

Bermula dari situlah, wanita yang mempunyai raut wajah yang eksotik itu berjinak-jinak dalam menentukan busana yang perlu dipakai oleh selebriti tatkala muncul di layar kaca.

Katanya kepada penulis, sesungguhnya, semua pengalaman yang diraih disimpan kemas untuk dijadikan bekalan untuk meneruskan kehidupan mendatang.

Selepas berfikir dan mencongak banyak perkara, penata rias berkulit sawo matang itu kemudian memberanikan diri untuk tidak bergantung hidup dengan pendapatan bulanan.

Meskipun selesa menerima upah pada setiap hujung bulan, kata Tym, beliau harus mencabar diri sendiri agar tidak terus berada di zon selesa.

“Pelbagai kemungkinan yang saya fikirkan sebelum sedia berdikari sendiri. Bagaimanapun, benar bagai dikata, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

“Setelah mempertimbangkan semasak mungkin, saya nekad untuk tidak berpatah balik, mahupun putus harapan untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang penata gaya. Kini, saya berterima kasih atas rezeki daripada ALLAH. Tanpa sedar, lebih sedekad saya sudah bekerja sendiri,“ tuturnya yang berkali-kali melafazkan rasa syukur ke atas nikmat kurniaan YANG MAHA ESA.

Ragam dunia

Nama Tym dalam arena tatarias tanah air bukan biasa-biasa. Selain Nana Mahazan dan Wany Hasrita yang pernah mendapatkan khidmat ‘tangan Raja Midas‘ ini, senarai selebriti lain yang pernah berkolaboratif dengannya terlalu ramai.

Antara yang muat untuk penulis senaraikan ialah Jihan Muse, Datin Alyah, Nabila Huda, Ayda Jebat, Marsha Milan, Liza Hanim, Siti Nordiana, Fazura dan Rozita Che Wan.

Setakat ini, akui wanita itu, ramai artis yang berpuas hati dan menyenangi konsep gaya dan tatarias yang beliau usulkan.

Ya, melihat itu semua, pastinya kita sebagai orang luar akan nampak yang indah-indah sahaja. Namun, di sebaliknya, kita tidak tahu.

Apabila bercerita soal itu, Tym mengakui, dalam suka, pasti tetap ada cerita duka. Dalam nada perlahan, beliau memberitahu, mustahil dirinya tidak pernah berdepan dengan cabaran terutama bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kita bercakap tentang hati dan perasaan manusia. Sesekali ada di antara mereka yang sudah melantik saya untuk menjadi penata gaya, tetapi apabila ketika saya melakukan kerja, segala apa yang dilakukan tidak dihargai, sehinggakan ada yang menolak pandangan saya mentah-mentah.

“Lagak mereka seperti seorang yang mengetahui segalanya, sedangkan tidak. Jadi, bagi saya, rezeki yang halal itu datang daripada usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu dibayar, tetapi hanya menurut segala arahan.

“Apabila saya sudah memiliki pengalaman dengan individu sebegitu, cara mudah yang saya lakukan adalah berusaha untuk menolak kerjasama untuk kali kedua, tetapi dengan cara baik agar saling tidak menyakiti antara satu sama lain,“ jelas Tym tatkala bercerita tentang pengalaman yang direntasnya.

Tambah beliau, pendekatan itulah yang paling wajar dilakukan bagi mengelak dirinya terus berhadapan dengan tekanan.

Kepada penulis, Tym memberitahu, nasihat bonda tercinta, Aminah Hashim, yang sentiasa berpesan kepadanya agar melakukan sesuatu tanggungjawab dengan sepenuh jiwa, terus menjadi prinsip pegangannya.

“Isi tersirat daripada segala kata-kata ibu membuat saya mahu lakukan sesuatu pekerjaan dengan rela hati dan penuh rasa cinta bagi memberikan hasil yang memuaskan.

Iklan

“Setiap hari saya memotivasikan diri dengan cara mencintai sesuatu perkara yang dilakukan dan menjauhi segala anasir yang boleh merosakkan hati sehingga ‘membunuh‘ inspirasi,“ tegasnya.

Gemar cara lama

Kata Tym, ibunya adalah segala-galanya bagi beliau. Sosok wanita itu ungkapnya, telah banyak mempengaruhi kehidupan beliau dari kecil sehinggalah pada saat ini.

Tidak kiralah dari segi penjagaan kesihatan, gaya hidup, kerjaya, waima dari segi memasak pun.

“Bercerita fasal memasak, sebenarnya dulu ibu bekerja sebagai cef di sebuah hotel dan saya pernah bercita-cita untuk mempunyai karier serupa dengannya.
“Pengorbanannya kepada kami juga sungguh luar biasa. Apabila sudah bersara, beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan cara menjual pelbagai jenis hidangan di depan rumah.

“Waktu itu, saya yakin kerja sebagai tukang masak akan membuat seseorang lebih mudah untuk mencari rezeki. Lihat sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, golongan peniaga gerai tumbuh bagai cendawan selepas hujan,“ katanya yang sangat menyanjungi kehebatan ibu tersayang.

Nampaknya, bakat memasak turut mengalir dalam tubuh Tym. Ujarnya, selain gemar menata rias, beliau juga berkebolehan ‘bersilat‘ di dapur. Antara masakannya yang digemari ahli keluarga dan kenalannya adalah hidangan ikan cencaru belah belakang.

“Saya sangat minat memasak lebih-lebih lagi untuk disajikan kepada tetamu seperti famili sendiri dan sahabat handai. Sesekali berkumpul memang meriah,“ ujarnya.

Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis adalah sikap ibunya yang tidak gemar bersolek. Hal itu turut menjadi ikutan Tym, meskipun beliau seorang penata rias.

Iklan

Biarpun dilabelkan sebagai seorang yang suka bergaya, tetapi ungkap wanita itu, dirinya bukanlah seorang pencinta alat solek.

“Sesekali, jika ingin menghadiri acara formal, saya akan mendapatkan khidmat jurusolek untuk membantu saya,“ tuturnya.

Bagi Tym, cukup sekadar penjagaan kesihatan kulit wajah dengan bahan semula jadi tanpa penggunaan tanpa campuran kimia.

Seperti ibunya, Aminah yang sering mengamalkan petua penjagaan kesihatan secara tradisional, anak bongsu daripada lima beradik itu turut mengaplikasikan pendekatan yang sama.

“Saya gemar menghasilkan sendiri skrub badan yang diperbuat daripada beras atau coklat. Sesekali saya akan memanjakan diri dengan melakukan mandian susu di rumah,“ akuinya berkongsi tip menjaga tubuh badan agar sentiasa kekal cergas.

Sekiranya berkelapangan, Tym akan berkunjung ke spa kecantikan untuk mendapatkan urutan.
Bagaimanapun, wanita berusia 39 tahun itu tidak gemar melakukan rawatan wajah dan mustahil baginya untuk melakukannya di spa.

“Sejak saya remaja lagi, ibu akan memanggil tukang urut untuk mengurut di rumah sekurang-kurangnya sekali seminggu termasuk bertangas. Oleh kerana sudah terbiasa sejak kecil, saya masih melakukannya sehingga ke hari ini,“ katanya menutup bicara.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram