PENGARAH dan pelakon Sabri Yunus menerima baik pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif yang disifatkan sebagai peluang terbaik penggiat seni kembali berkarya dan bekerja demi kelangsungan hidup.

Biarpun kelonggaran tersebut hadir bersama SOP ketat yang harus dipatuhi, Sabri, 60, tidak melihat ia sebagai membebankan, apatah lagi jika berkaitan keselamatan dan kesihatan penggiat seni terlibat.

“Bagi saya, syarat-syarat atau SOP yang ditetapkan itu sememangnya perlu sebab kita masih belum bebas daripada pandemik.

“Ia sangat penting dan merupakan tindakan yang benar jika kita semua mahu kembali bekerja bersama-sama.

“Mungkin ia nampak seperti membebankan, tetapi dalam masa sama kita perlu lihat perkara positif di sebaliknya,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Tidak menafikan kesukaran untuk berkerja dalam pelaksanaan SOP ketat, pelakon Pok Ya Cong Codey itu bagaimanapun melihat ia sebagai satu norma baharu yang perlu didaptasi segera demi merangsang kembali industri kreatif tanah air.

“Tak mungkin kita mampu menunggu Covid-19 bebas sepenuhnya, jadi kita memang perlu ikuti SOP untuk keluar bekerja dan melakukan segala aktiviti dengan selamat.

“Kita kena segera beradaptasi meskipun sukar. Sama juga dengan rutin baharu kita sekarang yang perlu mengikuti peraturan tertentu ketika mahu masuk ke pasar raya atau mana-mana tempat melibatkan orang awam.

“Begitu juga dengan aktiviti dalam industri seni. SOP itu perlu untuk kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Mengulas tindakan segelintir artis dan penggiat seni yang enggan mengambil vaksin, namun masih mahu menyertai penggambaran seperti biasa, Sabri, menyeru pihak terbabit agar tidak mementingkan diri sendiri.

“Kalau hanya kerana seorang dua enggan mematuhi SOP sehingga menyebabkan orang lain tidak boleh bergerak, ia adalah tidak patut dan tidak adil.

Iklan

“Bagi saya, pada mereka yang tidak mahu mengambil vaksin, dia harus melupakan seketika industri seni kerana industri memerlukan SOP itu untuk keselamatan bersama.

“Kalau fikir tentang hak dia untuk menolak vaksin, dia juga kena tahu hak orang lain untuk rasa tidak selesa atau selamat dengan orang seperti mereka. Hak industri, stesen TV, rakan-rakan penggiat seni dan orang di sekelilingnya,” katanya.

Tambah Sabri, dia tidak mempersoalkan keputusan mereka yang menolak vaksin sekiranya mereka tidak bekerja dalam kelompok yang sudah divaksin dan melibatkan pihak lain.

“Mungkin tidak jadi masalah kalau dia memutuskan untuk tidak mengambil vaksin dan hanya duduk di rumah. Terpulang pada dia, itu hak dia.

Iklan

“Cuma yang menjadi masalah apabila dia masih nak terlibat dalam penggambaran dan bekerja dengan orang sudah divaksin dalam satu industri yang mensyaratkan vaksin.

“Jadi perlu ada ketetapan daripada semua pihak, baik stesen TV, penerbit dan pengarah untuk tidak mengambil khidmat mereka yang enggan divaksin ini.

“Jangan pula ada pihak yang bersekongkol demi kepentingan sendiri dengan menipu orang lain sehingga akhirnya mendatangkan risiko pada seluruh indusri,” katanya.