SIAPA sangka, di sebalik senyuman dan kelincahan yang dipamerkan oleh wanita berusia 34 tahun ini, terselit satu penderitaan yang sukar untuk dikongsikan dengan sesiapa pada awalnya.

Mengalami tekanan dan kebimbangan melampau atau anxiety banyak menduga kehidupan Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham selama setahun setengah.

Cerita anak kelahiran Kuala Lumpur itu, tekanan yang dihadapi bermula selepas kehilangan bapa tercinta, 13 hari selepas mendirikan rumah tangga.

Ia menjadi lebih parah setelah perkahwinan dibina terlerai pada Disember 2017.

Menyedari perubahan yang berlaku, Mimifly cuba mengatur langkah bertemu pakar terapi.

“Tiada siapa tahu permasalahan saya hadapi kerana saya tidak suka berkongsi awalnya. Namun perubahan yang berlaku pada diri saya sedikit sebanyak telah membuatkan saya terfikir.

“Alhamdulillah saya kini lebih baik daripada sebelum ini, walaupun kadang-kala anxiety itu datang, tetapi ia tidak seteruk dahulu.

“Apa yang pasti, saya tak lagi menoleh ke belakang dan mengenang kisah lalu. Hidup saya kini lebih baik,” katanya.

Pengalaman tersebut sedikit-sebanyak memberi inspirasi kepada Mimifly menghasilkan lagu Hujan, yang berkisarkan mengenai pergolakan minda.

“Saya percaya, pada masa kini, ramai yang pernah menghadapi pergolakan minda dan tekanan.

“Pengalaman saya sendiri turut memberi inspirasi menghasilkan lirik Hujan. Dalam masa sama, idea itu datangnya dari ALLAH SWT juga.

“Lirik lagu Hujan adalah manifestasi dan harapan kita untuk melepaskan diri daripada belenggu permainan minda negatif.

“Ketika cuba menghasilkan lagu ini, saya keluar sebentar dari studio untuk berehat. Tetapi langit biru yang perlahan-lahan bertukar menjadi gelap dan seterusnya melihat bumi dibasahi hujan menjadi inspirasi kepada saya.

“Kalau kita lihat konteks hujan itu sendiri, hujan jatuh ke bumi untuk membasahi dan memperbaiki bumi serta membasuh segala kekotoran. Ia sangat menepati dengan konsep lagu dan mesej yang ingin sampaikan,” jelasnya.

Istimewanya juga, lagu edaran syarikat 17 Eleven Music dan terbitan D Alpha Legacy itu dicipta khas untuk filem Bisikan bakal ditayangkan pada Februari tahun depan.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Altimet, Mimifly berkata ia satu penghargaan buat diri dan kerjaya seninya.

“Ini kali pertama bekerjasama dengan Altimet dan ia antara salah satu impian saya sebagai anak seni.

“Saya berharap lagu ini dapat tembus ke hati dan telinga pendengar. Lagu ini amat bermakna buat saya sekali gus ia dapat membantu menenangkan segala depresi dan anxiety yang kita semua sedang hadapi,” katanya.

Iklan
MIMIFLY
Mimi mengakui pengalaman lalu banyak menjadikan dia individu yang lebih matang dan kuat pada hari ini.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan karier seninya kini, Mimifly yang memulakan kerjaya nyanyian bersama  One Nation Emcee (ONE)  sebelum mengambil keputusan bergerak solo pada tahun 2015, kini lebih selesa sendiri.

Mengakui keputusan untuk bergerak solo itu bukan mudah, Mimifly merasa lebih bebas mengatur karier seninya.

“Tidak dinafikan pada mulanya memang agak janggal. Lebih-lebih lagi selepas mengambil keputusan bergerak solo, saya menyertai D’ Academy Asia.

“Tetapi lama-kelamaan, saya lebih selesa bergerak solo dan alhamdulillah karier seni saya juga semakin lancar. Saya merasa lebih kebebasan dan puas hati dengan kehidupan saya kini,” ujarnya.

Giat cipta lagu, kumpul material

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Mimifly berkata, selain sibuk mempromosikan lagu Hujan, dia juga berkolaboratif bersama Ratu Balqis menerusi lagu Buaya.

Iklan

Selain itu, dia juga sibuk menghasilkan lagu, baik untuk albumnya baharunya mahupun permintaan daripada penyanyi lain.

Biarpun turut sama terjejas ekoran penularan wabak pandemik Covid-19, namun Mimifly tetap optimis dan menganggap segala ujian ini ada hikmahnya.

“Alhamdulillah saya sekarang memang tengah sibuk siapkan lagu untuk album dan untuk artis lain. Ada juga perbincangan untuk berkolaboratif dengan penyanyi lain juga.

“Saya anggap Covid-19 ini ada hikmah tersendiri. Saya ada lebih masa untuk berkarya di rumah,” katanya.