MENGHARAPKAN bantuan daripada pihak yang berwajib, pengarah popular, Rashid Sibir memohon agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tampil membantu individu belakang tabir yang terjejas ekoran kehilangan sumber pendapatan.

Rashid berkata, penutupan industri kreatif dan larangan sebarang aktiviti penggambaran drama atau filem menambahkan beban yang terpaksa ditanggung mereka.

Beliau juga mendakwa Finas masih mempunyai peruntukan dana yang banyak kerana penggambaran tidak dapat dijalankan pada masa sekarang.

“Mereka semua ini memerlukan wang untuk membeli makanan dan meneruskan kelangsungan hidup. Dana Finas yang tidak digunakan itu boleh tukarkan kepada sumbangan bantuan kepada orang seni.

“Disebabkan keadaan semasa yang kian mendesak, ramai karyawan tempatan yang hilang punca pendapatan dan berdepan dengan kesempitan hidup,” ujarnya kepada SinarPlus.

Pada masa sama, Rashid, turut mencadangkan agar Finas dapat menyediakan perkhidmatan pinjaman tanpa faedah.

Pembayaran balik akan dilakukan semula sepanjang tempoh penggambaran.

Iklan

“Penerbit akan bertindak sebagai penjamin. Permohonan pinjaman haruslah melalui penerbit yang melantik mereka bekerja.

“Pinjaman sekitar RM3,000 setiap seorang sudah cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup untuk sebulan.

Iklan

“Bagi memudahkan pembayaran semula, penerbit boleh memotong bayaran khidmat untuk dibayar terus kepada Finas. Dengan ini berjuta dana filem boleh ditukarkan kepada bantuan kemanusiaan,” terang pengarah drama rantaian Tanah Kubur itu.