Misha Omar buat penonton ‘larut’, lakar sejarah manis bersama peminat setia

A
A
A

BERBEKALKAN vokal mantap dan penuh bertenaga, penyanyi Misha Omar tampil memukau ketika menjayakan Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Sabtu lalu.

Ternyata Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, mengotakan janji untuk memberikan persembahan terbaik, sekali gus melakar kenangan paling manis buat para peminat setianya.

Pada saat dia mula melangkah ke pentas sehinggalah persembahan berakhir, penyanyi kelahiran Kelantan itu seakan membawa penonton larut dalam cerita yang disampaikan menerusi lagu-lagu dendangannya.

Lagu Cinta Adam dan Hawa, Terimaku Seadanya, Jawapanmu, Sembunyi, Hingga Akhir Nanti, Dedebu Cinta, Tiada Lagi Tangisan, Nafas Cahaya, Ku Seru dan Bunga-Bunga Cinta pada segmen pertama persembahan ternyata mencuri perhatian penonton.

Apatah lagi dengan celoteh bersahaja diselangi cerita-cerita tulus di sebalik lagu oleh ibu kepada dua anak itu membuatkan persembahan menjadi lebih menarik.

Ramli MS mengiringi persembahan Misha ketika segmen tribute - FOTO ISTANA BUDAYA.

Begitu juga ketika Misha mengajak penonton mengenang kembali bintang seni yang telah pergi menerusi segmen tribute.

Penyanyi itu tampil dengan persembahan cukup beremosi ketika mendendangkan lagu Merisik Khabar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Kau Tinggi Di Awan Biru (Allahyarham Datuk Sharifah Aini) dan Kesetiaan (Allahyarham Siti Sarah Raissuddin).

Malah iringan petikan piano daripada maestro muzik terkenal Datuk Ramli MS turut memberi aura berbeza pada segmen tersebut.

Melengkapkan persembahan, Misha yang tampil anggun menerusi busana kuning berkilauan rekaan Michael Ong dan persalinan merah daripada Christian Dior itu menyampaikan rangkaian balada hits kegemaran ramai iaitu Riwayat Cinta, Pulangkan, Tanpa Rela serta diakhiri dengan Sampai Bila.

Misha tampil dengan vokal dan gaya persembahan tersendiri. - FOTO ISTANA BUDAYA

Aura tersendiri

Tidak hanya melontarkan suara, namun penyanyi yang juga anak didik kepada komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu memberikan seluruh perasaannya ketika membuat persembahan.

Terkenal dengan lagu-lagu balada melankolik, Misha seolah-olah memaku penonton untuk hanya mendengar nyanyiannya sepanjang persembahan berlangsung. Kemampuan yang mungkin tidak semua penyanyi memilikinya.

Persembahan penyanyi wanita berusia 39 tahun itu, ternyata luar biasa dengan iringan 80 pemuzik orkestra yang dipimpin oleh konduktor Nasran Nawi.

“Ini adalah konsert solo bersama orkestra yang menjadi impian saya sejak sekian lama. Akhirnya ia menjadi kenyatan pada tahun ke-19 penglibatan saya dalam industri.

“Persembahan ini cukup istimewa buat saya sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini,” ungkapnya.

Misha sememangnya mempunyai aura tersendiri dan menjadi antara artis yang dikagumi ramai kerana kehebatan vokal dan gaya persembahannya.

Meskipun Panggung Sari IB kali ini hanya mampu membuka ruang kepada 737 penonton sahaja bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik Covid-19, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang – Misha Omar ternyata berhasil cemerlang.

(FOTO: Istana Budaya)

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca