NAMA Sepahtu sudah tidak asing lagi dalam arena seni tanah air, khususnya di kalangan peminat genre komedi, lawak dan sitkom.

Bertapak lebih dari 10 tahun dalam industri, kini tiba masanya untuk Sepahtu mencari muka baharu untuk dijadikan edisi terkini kumpulan mereka.

Program Mencari Sepahtu Yang Hilang akan bersiaran selama lapan minggu bermula mala mini (2 Disember), setiap Khamis, jam 9 malam, secara langsung menerusi saluran komedi, Astro Warna, saluran 107.

12 kumpulan peserta daripada penyertaan solo, duo dan trio telah dipilih. Mereka terdiri daripada Yusra (solo), Muslim (solo), Arteh, Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (peserta trio).

Kumpulan Sepahtu akan menggalas tanggungjawab sebagai juri untuk program ini. Pembahagian markah 100 peratus (%) terdiri daripada tiga kategori utama iaitu idea (35%), kreativiti (35%) dan jalan penceritaan (30%).

Juara akan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM30,000 berserta trofi, manakala naib juara bakal membawa pulang RM15,000 berserta trofi.

Iklan

Tempat ketiga pula memenangi RM9,000, keempat sebanyak RM6,000 dan kelima dengan RM3,000, kesemuanya berserta trofi sumbangan Astro.

Iklan

Menariknya lagi, Sepahtu juga akan memilih pemenang solo daripada barisan finalis ini kelak dan mengumumkan individu tersebut sebagai ahli terbaharu kumpulan itu.

Dalam pada itu, program ini turut menyaksikan pelawak dan pelakon Ebby Yus serta penggiat teater, pelawak dan pelakon, Datin Marlia Musa bertindak sebagai Mentor. Manakala pelakon Ramona Zamzam pula diberi kepercayaan untuk mengemudi program ini bersama Jiggy Masin sebagai hos untuk edisi sisipan di belakang pentas.