PENYANYI Anuar Zain selamat berlepas ke Beirut, Lubnan bagi merealisasikan Misi Kemanusiaan Syria Care ke-13 menerusi Kempen Ramadan Al Khair 10.0 pada Ahad.

Selain Anuar, misi selama 10 hari itu turut disertai Ahli Lembaga Pengarah Tadabbur Center dan Dekan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Dr. Mohd Azrul Azlen Abd Hamid.

Anuar berharap segala urusan misi tersebut dipermudahkan dan mereka boleh mengumpul lebih banyak dana untuk diserahkan kepada pelarian Syria di beberapa kem pelarian di Lubnan.

“Kita dijangka melawat ke kem pelarian di Tripoli dan Arsal untuk menyerahkan bantuan makanan berupa pek makanan kering dan berbuka puasa bersama pelarian di situ.

“Selain itu, saya juga akan dibawa melihat keadaan kem pelarian yang difahamkan berada dalam keadaan sangat daif dan serba kekurangan.

“Apa yang kami harapkan adalah sokongan dan doa daripada rakyat Malaysia. Doakan keselamatan, kesihatan kami di sana, supaya dapat melakukan misi ini dengan lebih cemerlang, berjaya dan tenang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

ANUAR ZAIN
Anuar berharap rakyat Malaysia akan terus menghulurkan bantuan bagi memenuhi sasaran Syria Care untuk membantu lebih 700,000 orang pelarian Syria di Lubnan. (Foto : Rosli Talib)

Tambah Anuar, sehingga kini, pihak Syria Care masih lagi menerima sumbangan dengan jumlah sasaran RM4.2 juta bagi memberi manfaat kepada 720,000 pelarian.

“Difahamkan setakat 31 Mac lalu, pihak Syria Care hanya dapat mengutip 12 peratus daripada sasaran RM4.2 juta.

“Masih banyak lagi sumbangan diperlukan bagi menyediakan keperluan mereka. Kami menyeru orang ramai untuk meneruskan tajaan set iftar dan pek makanan untuk pelarian Syria sepanjang Ramadan ini,” jelasnya.

OderFood merupakan satu inisiatif memudah cara pesanan dan penghantaran makanan secara atas talian dengan lebih berkesan, teratur dan mudah.

Pakej dan harga bantuan makanan yang ditawarkan adalah RM15 untuk set iftar  atau RM150 untuk sekotak pek makanan kering.

Bagi yang berminat boleh layari www.oderfood.my atau sumbangan terus pada pautan https://donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain atau menerusi akaun bank Syria Care,  562106653575 (Maybank) dan 8601894560 (CIMB).

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anuar Zain ™️ (@anuarzainnetwork)

Bantuan berterusan

Sementara itu, ditebak adakah misi kemanusiaan ke Lubnan ini akan menjadi pintu pembuka kepada misi kemanusian pada masa akan datang, figura berusia 52 tahun itu tidak menafikannya.

“Sebenarnya salah satu impian dalam hidup saya adalah untuk bantu orang. Malah sejak dulu lagi pun saya cuba untuk memudahkan hidup sesiapa sahaja.

“Saya telah dididik daripada keluarga dan mereka juga sebegitu. Rasa seronok bila dapat menggembirakan orang lain.

Iklan

“Jadi bila pihak Syria Care ajak saya bekerjasama untuk misi kemanusiaan ini, saya tak fikir panjang dan terus bersetuju. Mungkin dapat keredaan dari ALLAH SWT, semua urusan dipermudahkan.

“Harapnya pendedahan saya sebagai penyanyi dapat membantu mengumpul lebih banyak dana bagi diagihkan kepada saudara kita di Lubnan.

“Bagi yang berkemampuan dari segi wang ringgit, saya hargai sumbangan anda. Tetapi sumbangan daripada doa juga cukup bermakna,” ujarnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anuar Zain ™️ (@anuarzainnetwork)