JIKA anda pernah menonton filem Searching arahan Aneesh Chaganty pada tahun 2018, pasti sahaja keterujaan sama bakal diperoleh menerusi filem berkonsep sama, Missing yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Biarpun digarap pengarah berbeza, Nick Johnsonn dan Will Merrick yang ketika itu bertindak sebagai editor untuk Searching, kini kembali dengan idea yang lebih kreatif dalam Missing.

Jika Searching menampilkan usaha seorang bapa yang tidak putus harap menjejak kehilangan anaknya, Missing pula menyaksikan perjuangan seorang anak perempuan mencari ibunya yang tiba-tiba hilang jejak.

Filem ini mengisahkan seorang remaja bernama June yang cuba menjejak ibunya yang hilang sewaktu percutian bersama teman lelakinya di Colombia. Pencarian June berdepan pelbagai kesukaran apabila terhalang oleh birokrasi antarabangsa.

Akhirnya June secara kreatif menggunakan kecerdasannya dengan semua teknologi terkini di hujung jari untuk menjejak sendiri ibunya yang kini dalam keadaan bahaya sebelum terlambat.

Namun apabila dia menggali lebih dalam, penyeliaan digitalnya menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan.

Antara babak menarik dalam Missing.

Konsep screenlife melatari hampir keseluruhan filem ini di mana setiap kejadian yang berlaku dipaparkan dari sudut pandang layar melibatkan komputer, tablet, mahu pun telefon pintar.

Penggunaan teknologi yang begitu dekat dengan ramai orang dan bersesuaian dengan tontonan pada tahun 2023 ini.

Namun dalam masa sama, dapat dilihat bagaimana pengaruh internet juga mampu menggugat keselamatan seseorang apabila setiap langkah dapat dijejaki dengan mudah oleh pihak ketiga hanya dengan mengakses aplikasi tertentu.

Teka-teki

Missing tampil dengan premis cerita yang cukup sederhana, mengenai hubungan ibu dan anak yang renggang kerana berbeza pemikiran dan tindakan yang akan dilakukan jika orang yang disayangi tiba-tiba menghilang.

Filem ini bergerak dengan penuh debaran, malah bersulam teka-teki panjang mengikat penonton untuk terus mengikuti cerita hingga ke penghujungnya. Apatah lagi isu yang ditampilkan cukup realistik dengan perkembangan semasa.

Bukan satu, malah beberapa plot twist disajikan sehingga membuatkan penonton semakin teruja untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan siapakah dalang yang merancang kehilangan tersebut.

Iklan

Kreativiti Nick Johnsonn dan Will Merrick selaku pengarah begitu terserlah dan bijak menyusun plot twist yang mampu memberi impak kepada keterujaan serta perasaan ingin tahu penonton.

Pujian juga untuk Storm Reid yang menjayakan watak sebagai June yang berjaya menampilkan lakonan cukup baik. Reid berjaya menyentuh hati penonton menerusi pelbagai emosi yang ditampilkan dari awal filem bermula hingga ke penghujungnya.

Secara keseluruhannya Missing merupakan sebuah filem yang tidak harus dilepaskan dan sesuai untuk tontonan sesisi keluarga.

Iklan

Missing
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Thriller
Durasi: 1 jam 51 minit
Pengarah: Nick Johnson, Will Merrick
Pelakon: Storm Reid, Nia Long, Joaquim de Almeida, Ken Leung
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 23 Februari 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.